‘Kenyataan Tony Pua umpama lafaz talak tiga’ - Ka Siong
SHAH ALAM - MCA meluahkan rasa kesal terhadap tindakan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan korup.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan kenyataan tersebut seperti melafazkan talak tiga terhadap BN yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Jelas beliau, kenyataan Tony itu juga tidak menggambarkan semangat kebersamaan dalam kerajaan.
“Saya berasa kesal malam tadi berlakunya satu episod yang tidak diduga, pemimpin seperti Tony menyerang BN sebagai parti korup. Kalau kata parti korup, sudah melafazkan talak tiga umpamanya. Di mana asasnya kerjasama?
“Saya pun merasa pelik. Ini mulut celupar ke mulut longkang. Kalau kita nak jadi kawan, kita tidak akan nak buruk-burukkan.
“Dalam kita buat persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), tiba-tiba ada kenyataan sebegitu dibuat dalam majlis rasmi. Ramai yang bingung tengok apa yang berlaku dengan kerajaan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Tony pada Jumaat menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai pakatan korup.
Sehubungan itu, Tony menyuarakan harapan supaya PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut Ka Siong, sebagai antara parti yang bersama dalam membentuk kerajaan, perkara sedemikian tidak perlu diungkitkan.
“Kalau ungkitkan sebegitu, orang akan jawab balik macam mana parti sendiri? Kalau kita mendokong semangat kebersamaan, keikhlasan patut ditunjukkan,” ujarnya.
Tambah beliau, setiap pemimpin perlu terus melangkah ke hadapan tanpa mencetuskan provokasi antara satu sama lain.
“Agong kata 'move on', semua pemimpin dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga kata 'move on'. Jadi kita 'move onlah',” katanya.
Ka Siong turut memaklumkan bahawa kerjasama yang dijalin tidak diterjemahkan dengan sebaiknya sebagai contoh ketika rundingan kerusi bagi PRN akan datang.
“Macam-macam tohmahan dibuat. Setiap parti ada maruah sendiri. Jangan sampai kita lafazkan talak tiga, lepas tu minta undi dengan orang lain.
“Sesungguhnya semangat kebersamaan perlu ada dan terjemahkan dalam keikhlasan. Itu sahaja,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan terhadap kenyataan Tony berkenaan PH perlu memerintah solo sekiranya memenangi PRU16.
“Bukankah itu bermaksud BN akan dikhianati oleh PH? DAP akan tikam belakang?” soalnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
BN, Bersatu 'pakatan korup' - Tony Pua
'BN sedia jadi pembangkang, DAP boleh tinggalkan UMNO' - Isham
'Tony Pua, sila cermin diri' - Dr Akmal
Kenyataan Tony Pua bukan pendirian DAP - Anthony Loke
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!