‘Ambil tindakan tatatertib terhadap Tony Pua’ - Lian Ker
SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook digesa untuk mengambil tindakan terhadap kenyataan yang dikeluarkan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, tindakan tatatertib perlu dikenakan sama seperti yang pernah dihadapi bekas ahli DAP, Superman Hew sebelum ini.
Selain itu, Lian Ker turut mencadangkan supaya Tony dipecat sebagai Penasihat Dasar DAP kepada Anthony susulan kenyataannya yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan korup.
“Ia untuk membuktikan komitmen dan sabitan DAP terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Bagi menolak kenyataan Tony bahawa DAP bercadang untuk bergerak sendiri tanpa BN atau UMNO yang dikatakan parti rasuah, Anthony tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku,” ciapnya dalam satu hantaran di Twitternya pada Ahad.
Tony pada Jumaat menggelar BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai pakatan korup.
Sehubungan itu, Tony menyuarakan harapan supaya PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bagaimanapun, Anthony berkata, ucapan daripada Tony yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan itu tidak seharusnya dikeluarkan.
Tambah Anthony, sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam kerajaan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!