'Cek nak tanya sahaja'

A
A
A

BARU-BARU ini saya ada terbaca satu cerita yang ditularkan melalui hantaran WhatsApp. Cerita itu menarik juga untuk difikirkan terutama bagi orang-orang yang berfikir, tetapi kalau dibaca dengan tidak cermat atau oleh orang yang terlalu taksub dengan parti politik tertentu, maka ia tak akan meninggalkan kesan.

Penulis cerita itu beritahu, ketika dia sedang mengambil makanan di sebuah kantin, dia terserempak dengan seorang kawan lama yang merupakan penyokong tegar Pas.

Sambil mencedok lauk dia berborak dengan kawan tersebut. Katanya, “wajib makan ayam, haram makan lembu.”

Kawannya itu diam sahaja, tidak pula menyambut kata-kata itu.

Kemudian selang beberapa hari, sekali lagi mereka terserempak. Lalu si penulis cerita tersebut mengulang lagi menggunakan ayat yang sama, tetapi mengubah susunan perkataan. “Hari ni wajib makan lembu, haram makan ayam.”

Entah kenapa hari itu, kawannya tersentak pula. Lantas membalas kata-kata penulis cerita itu dengan nasihat.

“Sheikh, jangan haramkan benda yang halal dan halalkan benda yang haram. Nanti boleh terkeluar dari Islam. Lebih elok cakap sahaja: hari ini saya suka makan ayam, tak suka lembu. Esok pula kalau tak suka ayam, cakaplah pula: hari ini saya suka makan lembu, tak suka makan ayam. Kenapa nak dikaitkan dengan hukum pula?”

Penulis cerita pun senyum. “Oh, sebenarnya saya cakap begitu kepada penyokong Pas saja. Sebagai menghormati tuan guru mereka.”

Artikel Berkaitan:

Kawan penulis itu mula kebingungan mendengar alasan tersebut.

Kemudian penulis cerita itu berkata lagi, “Bukan apa, susah sangat ke kalau kata begini: hari ini kami sokong DAP, tak sokong UMNO. Bila sudah berubah selera, cakaplah sekarang kami sokong UMNO, tak sokong DAP lagi."

Kawannya itu membalas, "Tak perlulah kata hari ini wajib sokong DAP dan haram sokong UMNO, kemudian sekarang perlu kata wajib sokong UMNO, haram sokong DAP. Kenapa perlu kaitkan dengan hukum pula Sheikh?"

Mungkin kawannya itu terasa hati ditegur begitu lalu terus memilih untuk duduk di meja lain. “Mungkin dia kecil hati agaknya dengan pertanyaan saya itu,” kata penulis cerita itu.

Begitulah akhir cerita daripada penulis tersebut. Namun begitu, ia menerbitkan perdebatan lain pula daripada kawan-kawan saya berkenaan cerita ini.

Kata seorang kawan saya yang bernama Apit, “Tak kena langsung perbandingan itu. Pemimpin Pas itu pun yang saya tahu depa bagi nas untuk setiap hukum yang depa letak termasuk mengambil kira akan situasi semasa dan kesan kepada Islam itu sendiri.

"Setiap hukum itu depa kaji secara menyeluruh. Mana mungkin depa main letak saja untuk cari alasan menghukum. Yang penting kalau kerajaan bawa agenda kepentingan Islam maka Pas akan sokonglah.”

Apit membantah keras cerita di atas apabila dikaitkan dengan hukum makanan dan politik. Ia perkara yang berbeza katanya lagi. Ini kerana setiap tindakan politik di sini hendaklah merujuk kepada al-Quran dan Hadis serta mengikut situasi semasa.

Manakala untuk situasi sekarang keputusan sebaliknya perlu diambil, iaitu halal bekerjasama dengan UMNO dan haram bekerjasama dengan DAP.

Seperti kata Apit lagi, Pas pasti telah merujuk dengan begitu teliti sebelum setiap keputusan diambil. Yang penting, demi kepentingan Islam seluruhnya.

Kalau mengikut peribahasa Melayu lama pula, situasi begini dipanggil, neraca palingan bungkal, hati palingan Tuhan. Maknanya ialah pendirian yang mudah berubah atau selalu berubah.

Namun untuk situasi Pas ini, ia perlu demi kepentingan atau kelangsungan Islam dan lagipun mereka telah merujuk kepada nas sebelum membuat sebarang keputusan. Mungkin begitulah pendapat Apit.

Seorang lagi kawan saya bernama Farouk memberi respons. “Begini, Pas meletakkan kepentingan agama Islam pada perlembagaannya dan tetap utuh dalam memperjuangkan Islam melalui politik.

"Haram dahulu dengan UMNO disebabkan tidak menerima politik yang Islam anjurkan. Halalnya sekarang kerjasama Pas dan UMNO disebabkan kesediaan meletakkan kepentingan Islam dan Melayu di depan dalam berhadapan dengan musuh Islam yang semakin mencabar agama ALLAH ini.”

“Takbir!” Tiba-tiba Pak Din aktivis yang bersama dalam perbincangan kami menjerit.

Kemudian Pak Din bertanya, “Cek nak tanya, dalam UMNO dulu ada tak ulama yang bersandarkan pada nas?”

* Penulis ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!