Laluan LTU Seksyen 5B, sebahagian 5A dibuka tengah malam ini
RAUB - Pengguna kini dapat menjimatkan masa perjalanan mereka menerusi pembukaan Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 5B: Kampung Orang Asli Sungai Chandan ke Kampung Asap dan sebahagian Seksyen 5A: Persimpangan Krau, Raub bermula jam 12.01 tengah malam ini.
Ia juga satu khabar gembira buat pengguna menjelang musim perayaan Aidiladha tidak lama lagi yang menjangkakan sebanyak setengah juta kenderaan menggunakan laluan tersebut sepanjang musim perayaan berkenaan.
Pembukaan laluan sepanjang 18.6 kilometer dari Persimpangan Keruntung, Bentong ke Persimpangan Krau di sini disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy berkata, dengan pembukaan laluan tersebut, pengguna kini hanya memerlukan tempoh 15 minit berbanding 45 minit sebelum ini.
Menurutnya, pembukaan laluan berkenaan amat signifikan terutama dalam mengatasi kesesakan lalu lintas khususnya pada musim perayaan.
"Manfaat yang kita dapat daripada jalan ini ialah memendekkan perjalanan daripada 45 minit kepada 15 minit dan daripada segi jaraknya daripada 30 kilometer kepada 18.6 kilometer.
"Laluan ini akan dibuka secara rasmi 25 Jun pada 12.01 tengah malam yang mana orang ramai boleh menggunakan lebuh raya ini," katanya pada sidang media majlis penyerahan projek siap dan pembukaan jalan LTU Seksyen 5B dan sebahagian Seksyen 5A di sini pada Sabtu.
Difahamkan, laluan tersebut berjaya disiapkan dua bulan lebih awal daripada tempoh sepatutnya.
Jajaran LTU di negeri Pahang melibatkan empat pakej utama iaitu pakej tiga sehingga pakej enam sepanjang 169.10 kilometer yang dipecahkan kepada 16 Seksyen.
Sementara itu, Wan Rosdy menyifatkan dengan adanya LTU ini secara langsung dapat membantu menarik pelabur dan sudah pasti memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya di sebelah Pahang Barat.
"Bayangkan dengan jarak perjalanan yang semakin singkat, mereka yang berniaga dapat menggunakan laluan ini untuk ke Lembah Klang atau ke Kelantan sama ada untuk bermesyuarat atau untuk menghantar dan mengambil barangan perniagaan dengan cepat," tambah Wan Rosdy.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!