PKR mampu kalahkan Sanusi pada PRN Kedah - Saifuddin

Muhammad Sanusi, Saifuddin Nasution
Muhammad Sanusi, Saifuddin Nasution
A
A
A

ALOR SETAR - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak menolak keberangkalian parti gabungan Kerajaan Perpaduan mampu mengalahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN)Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Saifuddin berkata, ia memandangkan watak Menteri Besar Kedah itu disifatkan sebagai bukan sebahagian daripada siri tarbiyah Pas yang berasaskan tarbiyah quraniyah.

Beliau berkata, pihaknya optimis mampu mengalahkan Muhammad Sanusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah nanti disebabkan sikap ditunjukkan pemimpin Pas itu.

"Pemimpin ini dia datang dan pergi. Kadang-kadang, ada yang jadi penglipur lara. Jadi, tidak apalah kita boleh terima (namun) kita hendak pemimpin yang visinya jelas, ada adab, prihatin dengan rakyat (dan) dia bukannya memilih untuk jadi popular tapi masalah rakyat tidak selesai.

"Dalam perjalanan Pas sejak tahun 1951, banyak watak pemimpin (ditemui). Ada yang kami kekal hormat sampai sekarang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Jentera Pilihanraya Keadilan Kedah di perkarangan Pejabat Keadilan Kedah, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, antara tokoh itu termasuklah Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Allahyarham Datuk Dr Haron Din dan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

"Kita berbeza tetapi kita jaga adab dan hemah tetapi watak yang ini, saya lihat bukan sebahagian daripada tarbiah Pas (seperti) tarbiah rohaniah, tarbiah rabbaniyah (dan) tarbiah ruhiyah.

"Saya tidak nampak nampak ini adalah produk daripada siri tarbiah Pas yang berasaskan kepada tarbiah Quraniah ini," katanya.

Beliau berpandangan, pemimpin dihasilkan dari siri tarbiah Pas biasanya mengetahui waktu untuk memberi pandangan berbeza dan memilih ayat sesuai.

"Jadi, saya tidak fikir (dia) produk yang asli Pas (sekali gus) tidak tolak keberangkalian sama sekali (mengalahkan Sanusi)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!