Putin hubungi sekutu jelas situasi pemberontakan Wagner di Rusia
MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Sabtu menghubungi rakan sekutunya Belarus, Presiden Alexander Lukashenko berhubung tindakan pemberontakan tentera upahan Wagner diketuai Yevgeny Prigozhin wilayah Rusia.
"Presiden Rusia menghubungi presiden Belarus pada pagi tadi dan terdapat perbualan telefon," lapor media tempatan di Belarus.
"Putin memberitahu rakan sejawatannya mengenai situasi di Rusia," tambahnya.
Sebelum ini, Lukashenko pernah membenarkan tentera Rusia menggunakan wilayah Belarus sebagai pintu masuk untuk melancarkan serangan Ukraine dan mereka kekal sebagai sekutu terdekat Putin.
Kemudian Kremlin berkata, Putin turut menghubungi Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev.
"Presiden memberitahu mereka mengenai situasi di Rusia," menurut jurucakap Putin, Dmitry Peskov yang dipetik agensi berita Rusia.
Menurut media Kazakhatan, Tokayev memberitahu Putin bahawa kejadian di Rusia adalah 'urusan dalaman' dan presiden Rusia itu berterima kasih kerana memahami situasi tersebut.
Putin mempunyai beberapa sekutu kuat selepas melancarkan serangan terhadap Ukraine pada tahun lalu, dan menggelar pemberotakan Wagner sebagai 'menikam dari belakang'. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!