NGO bantu kesan pesakit hidrosefalus
PASIR PUTEH - Yayasan Hydrochephalus Negara berkerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengesan dan membantu pesakit hidrosefalus di seluruh negara.
Pengasasnya, Datuk Sri Megat D. Shahriman Datuk Zaharudin berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan setiap pesakit dan keluarga dibantu dari pelbagai aspek.
Katanya, yayasan itu membantu melalui bimbingan, kaunseling, rawatan dan kos perubatan.
"Kita tidak pesakit berasa tersisih, kita mahu mereka dan keluarga mempunyai daya tahan dan tahap psikologi tinggi dalam meneruskan lelangsungan hidup," katanya.
Menurutnya, ketika ini terdapat 173 pesakit hidrosefalus di seluruh negara termasuk empat di Kelantan dan beliau percaya masih ada pesakit yang belum dijejaki yayasan berkenaan.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majls menandatangani perjanjian persefahaman antara Yayasan Hydrochephalus Negara dan Pertubuhan Kebajikan Kampung Bukit Abal (PKABAS) di Amran Naziera Kitchen malam tadi.
Yayasan Hydrocephalus Negara diwakili Pengurus Besar, Hamedi Wahid manakala PKABAS diwakili Pengerusinya, Muhammad Yusri Ismail.
Megat D. Shariman berkata, PKABAS akan memainkan peranan menyampaikan maklumat berkaitan pesakit sedia ada dan mengesan pesakit baharu.
"Bukan peranan berkaitan hidrosefalus sahaja, PKABAS juga membantu melancarkan program kebajikan dan kemasyarakatan yayasan ini.
"PKABAS merupakan NGO pertama di negara ini yang berkerjasama dengan yayasan, saya berharap kerjasama ini memberi impak baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!