Persiapan PKR hadapi PRN di peringkat akhir

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Persiapan PKR untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri sudah di peringkat akhir, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata yang tinggal selepas ini adalah untuk membuat keputusan tentang senarai calon parti itu yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri yang terlibat.

"Bila dah sampai tahap itu bermaksud PKR terutamanya sudah pun bersedia dan kalau biasa pengalaman saya 14 tahun sebagai Setiausaha Agung (PKR) yang ikut membantu persiapan parti untuk menghadapi pilihan raya (sebelum ini), saya tengok bahawa PKR untuk menghadapi PRN berada pada tahap terbaik yang pernah kami sediakan.

"Bercakap tentang prospek PKR dengan calon-calon yang akan kami tampilkan, kami yakin di mana juga kerusi yang akan diumumkan secara muktamad yang akan ditandingi PKR mewakili tiket Pakatan Harapan (PH), kami yakin kami mampu menyumbang kepada kemenangan PH dan seterusnya mencukupkan kerusi bagi membentuk kerajaan," katanya di sini hari ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran jentera pilihan raya PKR Kedah di sini hari ini.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, PKR akan mengadakan taklimat khas berkenaan persiapan parti itu menghadapi PRN, yang akan disertai semua pimpinan tertinggi parti selain ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, di Kuala Lumpur, esok.

Beliau berkat,a antara perkara yang akan dibentangkan termasuk status rundingan pengagihan kerusi, tahap sokongan terkini rakyat terhadap PKR dan pengagihan tugas kepada pimpinan di negeri-negeri yang tidak terlibat dengan PRN.

"Dalam taklimat esok juga akan dibentangkan tentang strategi kempen PRN yang akan dilaksanakan Keadilan kerana negeri berbeza, strategi berbeza, tiga negeri dikuasai PH, strategi adalah untuk pertahankan, jadi strategi berbeza dengan Kedah contohnya, yang kami berhasrat untuk menawan, esok disampaikan dalam taklimat itu," katanya.

Selain Kedah, lima negeri yang turut akan mengadakan PRN dalam masa terdekat adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!