Nahas Gerik-Jeli: Tiga beradik yatim piatu sekelip mata

Suasana hiba menyelubungi pekarangan Hospital Gerik apabila Syamimi Aiyuni (tengah) dan Huzairah (kanan) tidak dapat menahan sebak dengan tragedi yang meragut nyawa pasangan suami isteri di Jalan Gerik-Jeli.
Suasana hiba menyelubungi pekarangan Hospital Gerik apabila Syamimi Aiyuni (tengah) dan Huzairah (kanan) tidak dapat menahan sebak dengan tragedi yang meragut nyawa pasangan suami isteri di Jalan Gerik-Jeli.
A
A
A

GERIK - "Mami jaga kami boleh?" Demikian luahan anak sulung kepada pasangan suami isteri yang terselamat dalam nahas di Kilometer 16.9, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik Jeli di sini pada Sabtu.

Pertanyaan itu meruntuh hati Huzairah Basir, 42, yang sempat menemui Muhamad Amir Zaqwan Mohamad Nasir, 14, di Hospital Gerik di sini sebelum dihantar bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Nahas sekitar jam 1 petang itu menjadikan Muhamad Amir Zaqwan bersama adiknya, Nur Auni Batris, 12, dan Muhammad Zarith Haris, 7, yatim piatu sekelip mata selepas bapanya, Mohamad Nasir Samsudin, 44, dan ibunya, Rohaya Harun, 46, terkorban.

Menurut Huzairah, keakraban sejak berjiran beberapa tahun lalu menyebabkan dia menganggap mereka sebagai ahli keluarga sendiri.

"Kali terakhir berhubung dengan Rohaya pada Jumaat menerusi WhatsApp untuk mengundang mereka sambut hari lahir anak saya pada Ahad.

"Tetapi dia balas 'kak balik dah'. Awalnya saya pelik dan tidak faham jawapan yang diterima tetapi tidak sangka itu petanda bahawa dia akan pergi," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Kecemasan, Hospital Gerik di sini.

Kemalangan di Jalan Gerik-Jeli meragut nyawa Rohaya dan suaminya, Mohamad Nasir pada Sabtu. - Foto ihsan pembaca
Kemalangan di Jalan Gerik-Jeli meragut nyawa Rohaya dan suaminya, Mohamad Nasir pada Sabtu. - Foto ihsan pembaca

Huzairah menyifatkan Rohaya sebagai individu yang baik dan suka bersedekah selain sering mengajar anak-anak jiran di Taman Bakau Emas, Kangar, Perlis membaca al-Quran.

Adik bongsu Rohaya, Syamimi Aiyuni Harun, 35, berkata, dia tidak menyangka hasrat kakak dan abang iparnya untuk pulang pulang awal ke kampung mereka di Kampung Layak, Jeli, Kelantan berakhir dengan tragedi.

Menurutnya, keluarga kakaknya itu merancang untuk melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha ini.

"Semalam kak Aya beritahu dia mahu ke kubur abah dan nak duduk lama-lama. Abang ipar pun cakap nak duduk lama di Jeli sebelum berjumpa mak di Gua Musang.

"Mak tidak tahu pun kakak mahu pulang ke kampung tetapi dalam seminggu dua ini dia memang selalu tanya bila kakak nak balik," katanya.

Jenazah Rohaya yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang, Perlis dan Mohamad Nasir yang bertugas di Pusat Koreksional Perlis akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Layak, Jeli pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi yang dinaiki lima sekeluarga itu dalam perjalanan menghala ke Jeli.

Huzairah tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pemberita di Hospital Gerik pada Sabtu.
Huzairah tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pemberita di Hospital Gerik pada Sabtu.

"Setibanya di lokasi kereta tersebut telah hilang kawalan dan masuk ke jalan bertentangan lalu bertembung dengan lori muatan simen yang dipandu lelaki berusia 50 tahun.

"Akibat daripada kemalangan itu, pemandu kereta dan isterinya disahkan meninggal dunia manakala tiga anak mangsa yang parah dihantar ke Hospital Gerik," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Gerik, Inspektor Mohd Zaidi Mat Yasin di talian 013-4487374 bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!