‘Min ingat, aku yang kalahkan kamu’ - Amirudin
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membidas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa bertanggungjawab mengemukakan nama beliau kepada pihak istana sebagai menteri besar baharu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Sebaliknya, Amirudin dengan lantang mengingatkan bahawa beliaulah yang telah mengalahkan Mohamed Azmin semasa PRU15 di Parlimen Gombak enam bulan lalu.
“Min (Azmin) dengar Min. Ni baru panas badan. Dia (Azmin) ungkit-ungkit pula. (Azmin) ungkit, Amir (masih) ingat.
"Min (Azmin) dengar Min, aku yang kalahkan kamu enam bulan lepas.
“Lepas kamu tidak menjadi Menteri Besar Selangor, pelaburan kita mencapai sehingga RM18 bilion. RM18 bilion ini terbaik daripada 30 tahun
“Dia (Azmin) tahu tak pelaburan ini macam mana. Ke dia asyik pergi Sandakan cari pelabur,” katanya semasa Pelancaran Jentera Arus Merah Kuning Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Sabtu.
Azmin sebelum ini mendedahkan apa yang berlaku sebenarnya ketika proses penggantian beliau bagi jawatan Menteri Besar Selangor pada 2018.
Azmin mendakwa, pada peringkat awal, bekas partinya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menghantar nama Amirudin sebagai calon PH menjadi menteri besar yang baharu selepas PRU14.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin mengakui beliau yang bertanggungjawab mengemukakan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu kepada pihak istana bagi dipilih mengetuai kerajaan negeri.
Sementara itu, Amirudin berkata, Pelancaran Jentera Arus Merah Kuning Negeri Selangor itu dilakukan adalah bagi menjelaskan kepada pengundi terhadap kekeliruan disebabkan serangan fitnah oleh PN.
Tambahnya, pengundi perlu mempertahankan kerajaan sedia ada bagi meneruskan kecemerlangan dan juga kemakmuran yang telah dibina.
“Kita kena pertahankan negeri ini. Pertahankan demi kemakmuran dan kemaslahatan rakyat. PN sudah tiada hujah. Asal boleh lawan dia lawan.
“Sebab itu negara tidak boleh harapkan mereka, sebab dalam sejarah (mereka) satu-satunya kerajaan gagal ialah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujarnya.
Selain itu, Amirudin turut menasihatkan agar semua parti dalam Kerajaan Perpaduan dapat melupakan perbezaan parti yang berlaku sebelum ini.
Jelasnya, kerjasama antara parti sangat diperlukan bagi memastikan pengkhianat dapat ditolak dan tidak diterima rakyat.
“Kalau datang (PN) sebar api perkauman, lupakan. Orang selangor tidak akan termakan dengan permainan api.
“Kalau mereka datang, tuan-tuan dengar dan tutup pintu sahaja. Tumpukan kepada sokongan (Kerajaan Perpaduan) untuk teruskan kecemerlangan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!