PJ wilayah pelaksana bangunkan Kota Seni
PETALING JAYA - Bandaraya Petaling Jaya diangkat sebagai wilayah pelaksana bagi membangunkan Kota Seni dalam usaha meningkatkan penglibatan sektor ekonomi kreatif tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, Pusat Bandar Seksyen 52 telah dipilih sebagai lokasi pengisian bagi program tersebut di Selangor.
Menurutnya, pusat bandar itu akan dijadikan sebagai 'one stop centre' kepada peminat seni berpotensi sebagai aset besar yang perlu dimaksimumkan bahkan membantu meningkatkan kualiti warga Bandaraya Petaling Jaya.
"Saya difahamkan, tahun ini juga merupakan tahun kedua penganjuran majlis perasmian sempena sambutan ke-17 Bandaraya Petaling Jaya dan diadakan secara besar-besaran.
"Seperti penganjuran tahun lalu, Pusat Bandar Seksyen 52 sekali lagi dijadikan sebagai lokasi utama selaras dengan hasrat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menceriakan dan mewarnai pusat bandar ini.
"Keceriaan tersebut diwarnai melalui pelbagai aktiviti sosial dan kesenian seterusnya mempertingkatkan kualiti fizikal bandar terutamanya di pusat bandar ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Petaling Jaya di Laman MBPJ yang turut dihadiri Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir di sini pada Sabtu malam.
Loy Sian menambah, beliau turut yakin dengan adanya penganjuran program seperti itu di Petaling Jaya akan menarik minat lebih banyak sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan peniaga-peniaga tempatan untuk turut serta.
"Ini seterusnya dapat mempromosikan produk pelancongan dan perkhidmatan yang ada di Petaling Jaya ke peringkat kebangsaan dan global," tambahnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!