Sanusi menghadap Sultan Kedah mohon perkenan tarikh bubar DUN

Muhammad Sanusi tiba di di pekarangan Wisma Darul Aman kira-kira jam 10.22 pagi untuk menghadap Sultan Sallehuddin. Foto: Bernama
Muhammad Sanusi tiba di di pekarangan Wisma Darul Aman kira-kira jam 10.22 pagi untuk menghadap Sultan Sallehuddin. Foto: Bernama
A
A
A
ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menerima menghadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad.

Baginda berangkat tiba di pekarangan Wisma Darul Aman di sini sambil melambai tangan kepada petugas media kira-kira jam 10.26 pagi.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi tiba kira-kira jam 10.22 pagi untuk menghadap Sultan Sallehuddin bagi mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Jun ini.

Pada 15 Jun lepas, Muhammad Sanusi memaklumkan Kedah bercadang membubarkan DUN pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau memaklumkan akan menghadap Sultan Sallehuddin untuk mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran pada 25 Jun.

Enam negeri akan melaksanakan PRN pada tahun ini termasuk Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Untuk rekod, Pas memiliki kerusi DUN tertinggi dengan 14 kerusi, diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan enam kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan lima kerusi, Amanah dengan tiga kerusi manakala UMNO,Pejuang, DAP masing-masing dengan dua kerusi di Kedah.

Dua kerusi kosong iaitu Gurun berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul melepaskan jawatannya, manakala Belantek akibat kematian Belantek Datuk Mohd Isa Shafie akibat masalah kesihatan pada 14 Jun lepas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!