'Jangan menghina walau beza ideologi politik' - Khairuddin

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin politik dinasihatkan supaya tidak menghina dan merendahkan sesama Muslim meskipun berbeza ideologi parti.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan tindakan itu bukan akhlak seorang Muslim dan jauh sekali sebagai mukmin apatah lagi akhlak seorang yang mengaku pejuang Islam.

Menurut beliau, tindakan itu boleh dimaafkan sekiranya ia dilakukan pemimpin dan ahli bawahan namun sangat tidak wajar perbuatan itu dilakukan oleh ahli Parlimen.

“Menghina parti lain yang pernah menjadi rakan kerjasama atas nama Islam dan Melayu sebagai ‘kain buruk pengelap kaki’ adalah akhlak yang sangat buruk dari seorang ustaz.

“Apa keuntungan dunia yang dikehendaki daripada penghinaan ini? Menarik perhatian ahli kononnya seorang yang hebat berpidato?

“Atau menarik sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan menghalalkan penghinaan yang diharamkan oleh Islam?,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Kenyataan beliau dipercayai merujuk kepada ucapan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari di Konvensyen Pilihanraya PN Selangor yang mendakwa DAP melayan Barisan Nasional (BN) seperti kain buruk untuk mengelap kaki ketika basah.

Kata Ahmad Fadhli, perumpamaan yang beliau gunakan meskipun bunyinya kasar tetapi bukan bermaksud secara peribadi bermusuhan dengan rakan-rakannya dalam BN.

Justeru, Mohd Khairuddin menegaskan pemimpin yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang politik dan dakwah Islam perlu berpolitik dengan akhlak Islam.

Beliau menasihatkan ahli Parlimen tersebut untuk bertaubat kepada ALLAH dan memohon maaf atas penggunaan bidalan yang kurang sopan agar tidak menjadi ikutan kepada anak muda yang dipimpin.

“Jangan malu untuk bertaubat dan memohon maaf,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!