Kanak-kanak hilang ditemukan lemas
BALING - [DIKEMASKINI] Seorang kanak-kanak OKU (hyperaktif) dari Kampung Lela ditemukan lemas di Sungai Ketil di sini hari ini.
Mayat Intan Nur Syiffa Aleya Abdul Halim,6, ditemukan oleh anggota mencari dan menyelamat (SAR) sekitar 1.30 pagi tadi selepas hilang kira-kira 9 pagi semalam.
Ibu mangsa, Musliha Yahya,40, berkata, kali terakhir dia melihat Intan Nur Syiffa Aleya adalah ketika sedang menjaga anak bongsu yang demam di sebuah dangau berhampiran rumah mereka pada pagi hari kejadian.
Menurutnya, sebelum kejadian, arwah dilihat masuk ke rumah abangnya (Bidin Yahya,44) yang terletak berhampiran kawasan sungai.
"Saya ada nampak Intan Nur Syiffa Aleya masuk rumah abang dan tidak nampak kelibatnya keluar," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, kehilangan Intan Nur Syiffa Aleya yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik itu disedari hilang tidak lama kemudian.
"Pada jam 10 pagi semalam, salah seorang anak saya, Intan Salwani cari adiknya di rumah abang, tetapi tak jumpa.
"Waktu itulah baru kami sedar dia dah hilang," katanya.
Tambahnya, kanak-kanak itu dipercayai keluar daripada rumah itu dengan memanjat beranda rumah.
"Masa itu, ada seorang budak lelaki sedang berada di pokok jati nampak Intan Nur Syiffa Aleya berhampiran sungai, kalau tidak silap waktu itu jam 9.30 pagi.
"Tetapi dia tak tahu anak saya istimewa. Selalunya orang kampung jika kenal budak tu macam mana, mereka akan hantar balik ke rumah," katanya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba Baling, Penolong Penguasa Mohd Jamil Mat Daud berkata, mayat mangsa ditemukan tersangkut pada akar buluh Sungai Ketil, kira-kira 500 meter dari Pos Kawalan Operasi Bomba (PKOB) kira-kira jam 1.30 pagi.
Menurutnya, seramai 20 anggota bomba bersama pelbagai agensi dan penduduk kampung terlibat dalam operasi mencari.
"Pencarian dibuat di kawasan sekitar seperti kolam terbiar, belukar dan sungai yang berada di kawasan berdekatan mangsa dilaporkan kelihatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!