PRN: Tony Pua sah tidak bertanding - Anthony Loke
PUTRAJAYA - Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua tidak akan dicalonkan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Setiausaha Agung parti, Anthony Loke.
Menurutnya, Pua sendiri yang melepaskan kerusi Parlimen yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.
“Tidak timbul soal Pua akan bertanding. Kita tak ada niat untuk mencalonkan dia dan dia juga memang tidak berminat (untuk bertanding). Dia sendiri serahkan kerusi Parlimennya.
"Jadi, saya tak tahu mengapa ada soal pasal dia akan bertanding. Tidak!” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pelaut 2023 peringkat kebangsaan di sini pada Ahad.
Jumaat lalu, Pua yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara menggelar Barisan Nasional (BN), yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan, sebagai 'pakatan korup'.
Pua berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya.
Dakwaan itu mengundang pelbagai reaksi termasuk dari Loke yang menganggap Pua tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berunsur serangan terhadap mana-mana rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan dan menegaskan bahawa kenyataan Pua adalah atas kapasiti individu.
Pemuda UMNO menyifatkan kenyataan Pua sebagai biadab dan menggesa DAP mengambil tindakan terhadapnya sementara Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendesak agar Pua tidak dicalonkan pada PRN akan datang. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!