PPS dibuka, tempatkan mangsa ribut Rawang
RAWANG - Pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Kanching Jaya di sini dibuka malam tadi bagi menempatkan mangsa ribut.
Adun Rawang, Chua Wei Kiat berkata, empat lokasi PPS ini adalah di Taman Jati, PKNS Batu 17, Taman Setia Batu 16 dan Pangsapuri Rawang Perdana 1 terjejas dalam kejadian jam 5 petang semalam.
Menurutnya, sehingga jam 2 pagi tadi seramai tiga keluarga melibatkan 11 mangsa telah mendaftarkan diri di PPS.
"Mangsa bencana dibekalkan barangan asas seperti toto (tilam nipis), bantal, kit bencana, selimut, tuala, kain batik dan kain pelekat.
"Dijangka jumlah mangsa yang bakal mendaftarkan diri ke PPS akan meningkat menjelang hari ini," katanya.
Jelasnya, sekurang-kurangnya 200 keluarga terjejas dalam kejadian ribut semalam.
"Turut terjejas bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak yang tercabut kerana ribut kuat dan tangki air Blok Cempaka Tun rosak kemungkinan ditutup atas faktor keselamatan, bimbang terjatuh ke bawah.
"Lori tangki air telah ke lokasi bagi bantuan awal disebabkan kerosakan tangki menyebabkan 130 keluarga menghadapi gangguan bekalan air," katanya.
Wei Kiat dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong telah ke lokasi terlibat meninjau keadaan dan melihat kerosakan, malam tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!