Praktik sistem ala universiti untuk pelajar Tingkatan Enam
SHAH ALAM - Sistem pembelajaran ala universiti perlu dipraktikkan untuk pelajar Tingkatan Enam dengan kaedah guru memberi panduan ketika mengajar, memberikan tugasan berkumpulan, kerja lapangan, tutorial dan kuiz.
Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, sistem peraturan di Tingkatan Enam sememangnya ada perbezaan iaitu dari segi kaedah pembelajaran dan etika pemakaian sewaktu di sekolah.
“Guru memainkan peranan dalam memastikan pelajar ini tidak terikat dengan sistem pembelajaran sama sewaktu mereka di sekolah menengah kerana kaedah yang digunakan adalah berbeza.
“Mereka juga tidak perlu memakai uniform seperti pelajar di sekolah menengah kerana seperti yang kita tahu Tingkatan Enam ini umpama sudah selangkah ke universiti, maka tidak perlu hadkan cara pemakaian mereka,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Tambah Alimuddin, diharapkan dengan perubahan sistem peraturan membolehkan pelajar dapat menguasai ilmu atau silibus seiring dengan apa yang akan dipelajari di universiti nanti.
Beliau turut menasihatkan pelajar supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada sebagai persediaan awal, sekiranya mereka akan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, suasana Tingkatan Enam harus diubah kerana ia sebenarnya pascasekolah seperti Program Matrikulasi, berikutan sesi persekolahan berakhir pada Tingkatan Lima.
Anwar berkata, ramai pelajar Tingkatan Enam mengeluh mengenai peraturan dan budaya serta mengusulkan agar ia diubah pada sesi dialog sebelum ini.
Mengulas mengenai cadangan untuk menukar kurikulum Tingkatan Enam daripada kaedah semester, Anwar berkata, perkara tersebut harus dibincangkan oleh pakar-pakar pendidikan, termasuk guru dan pelajar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!