'Rayu nak pergi kedai, beli aiskrim untuk kali terakhir'

Nik Mohd Khairul Hisyam (dua dari kiri) dan Nur Baizura ditenangkan oleh ahli keluarga ketika menunggu untuk menuntut jenazah tiga anaknya di Hospital Pekan pada Sabtu.
Nik Mohd Khairul Hisyam (dua dari kiri) dan Nur Baizura ditenangkan oleh ahli keluarga ketika menunggu untuk menuntut jenazah tiga anaknya di Hospital Pekan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Permintaan dua beradik untuk membeli aiskrim buat kali terakhir menjadi kenangan sukar dilupakan buat ibu dan bapanya apabila kedua-duanya bersama seorang lagi anak lelaki mereka maut dalam kemalangan di Jalan Benta-Lamir berhampiran Kampung Langgar, pada Sabtu.

Dalam nahas kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, penunggang motosikal, Nik Ikram Idwan Nik Mohd Khairul Hisyam, 15, dan dua adiknya, Nik Nur Faqihah, 11, serta Nik Ikram Nuqman, 5, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bapanya, Nik Mohd Khairul Hisyam Derahman, 41, berkata, Nik Nur Faqihah dan anak bongsunya, Nik Ikram Nuqman merayu kepada ibunya, Nur Baizura Mustafa, 33, supaya memberi sedikit wang untuk membeli aiskrim pada hari kejadian.


Nik Mohd Khairul Hisyam
Nik Mohd Khairul Hisyam

Menurutnya, Nik Nur Faqihah memberitahu itu adalah permintaan terakhir daripada mereka berdua.

"Nik Nur Faqihah kata, hari ini (Sabtu) last (terakhir) saya hendak makan aiskrim manakala adiknya (Nik Ikram Nuqman) pula merayu-rayu dan meminta izin dengan ibunya untuk pergi ke kedai.

"Dua beradik itu kemudian bersama abangnya (Nik Ikram Idwan) menaiki motosikal untuk membeli aiskrim di sebuah kedai namun ketika dalam perjalanan balik motosikal ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pekan pada Ahad.

Dia yang bekerja sebagai pemotong rumput mendapat tahu mengenai permintaan terakhir dua anaknya itu daripada Nur Baizura.

Nik Mohd Khairul Hisyam berkata, berita mengenai kemalangan maut membabitkan ketiga-tiga anaknya diketahui selepas menerima panggilan telefon daripada isterinya pada jam 1 tengah hari Sabtu ketika sedang bekerja.

"Bila isteri cakap tiga anak kita sudah tiada, saya ingat dia (isteri) main-main, tetapi selepas melihat gambar anak-anak terbaring atas jalan, saya rasa hiba dan sedih.

"Selepas itu, saya bergegas pulang dan tidak dibenarkan untuk melihat anak-anak yang kaku di atas jalan raya," ujarnya dengan nada sebak.

Bagaimanapun, anak kelahiran Besut Terengganu itu mengakui reda dengan pemergian ketiga-tiga anaknya, namun terselit rasa terkilan kerana tidak dapat melihat Nik Ikram Idwan menyambungkan semula persekolahan selepas Hari Raya Aidiladha.

Nik Mohd Khairul Hisyam (kiri) dan Nur Baizura (dua, kiri) tidak dapat menahan sebak selepas membuat pengecaman ketiga-tiga anaknya di Unit forensik Hospital Pekan pada Sabtu.
Nik Mohd Khairul Hisyam (kiri) dan Nur Baizura (dua, kiri) tidak dapat menahan sebak selepas membuat pengecaman ketiga-tiga anaknya di Unit forensik Hospital Pekan pada Sabtu.

Katanya, segala kelengkapan seperti pakaian, kasut sudah dibeli dan proses pendaftaran sekolah sedang dilaksanakan.

"Dia ( Nik Ikram Idwan) beli motosikal dengan usaha sendiri semata-mata untuk memudahkan ke sekolah, tapi ALLAH lebih menyayanginya," katanya.

Pada Sabtu kira kira jam 12.30 tengah hari tiga beradik, Nik Ikram Idwan dan dua adiknya, Nik Nur Faqihah, dan Nik Ikram Nuqman maut apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7, Jalan Benta-Lamir, berhampiran Kampung Langgar.

Ketiga-tiga jenazah dijangka akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu, Pekan pada Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!