Wanita maut dipukul teman lelaki

Polis menjalankan siasatan di tingkat satu sebuah rumah kedai yang didiami mangsa bersama teman lelaki serta anak mereka berusia lapan bulan di Taman Song Choon, Ipoh pada Ahad. - Foto Ihsan pembaca
Polis menjalankan siasatan di tingkat satu sebuah rumah kedai yang didiami mangsa bersama teman lelaki serta anak mereka berusia lapan bulan di Taman Song Choon, Ipoh pada Ahad. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Seorang wanita berusia 24 tahun maut dipukul teman lelakinya dengan sebatang kayu penyapu dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat awal diterima sekitar jam 4.34 pagi yang melaporkan kejadian pergaduhan di tingkat satu rumah kedai berkenaan.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring seperti tidur di atas katil dengan beralaskan bantal.

"Pemeriksaan yang dijalankan kakitangan kesihatan bagaimanapun mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bahagian Forensik PDRM menjalankan siasatan di lokasi kejadian bunuh melibatkan seorang wanita berusia 24 tahun di Taman Song Choon, Ipoh. - Foto Ihsan pembaca
Bahagian Forensik PDRM menjalankan siasatan di lokasi kejadian bunuh melibatkan seorang wanita berusia 24 tahun di Taman Song Choon, Ipoh. - Foto Ihsan pembaca

Menurut beliau, polis menahan teman lelaki mangsa berusia 23 tahun yang mengaku telah memukul mangsa.

"Turut ditahan ibu suspek bersama anak saudara serta pekerjanya berusia 29 hingga 65 tahun yang berada di tempat kejadian.

"Polis telah merampas empat telefon bimbit dan batang penyapu disyaki senjata yang digunakan suspek," katanya.

Yahaya berkata, ujian saringan air kencing mendapati teman lelaki mangsa positif dadah jenis methamphetamine.

"Punca pergaduhan masih dalam siasatan, namun suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah.

"Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan merupakan anak pasangan kekasih terbabit telah diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Tambah beliau, keempat-keempat suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Julai ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!