PRN: Manifesto UMNO Terengganu di peringkat akhir

Muhammad Pehimi
Muhammad Pehimi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Manifesto yang ditawarkan UMNO Terengganu dalam pilihan raya negeri (PRN) kini telah mencapai 80 peratus dan berada peringkat akhir untuk disiapkan.

Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, manifesto yang bakal ditawarkan merangkumi kebajikan untuk semua golongan di negeri itu dan mampu dicapai serta lebih baik berbanding apa yang dilaksanakan Pas ketika ini.

Beliau memberitahu, kebanyakan program kebajikan diperkenalkan Pas ketika memerintah Terengganu merupakan kesinambungan daripada apa yang telah dilaksanakan BN sebelum ini.

"Kita akan melaksanakan semula semua program kebajikan yang pernah dilakukan sebelum ini dengan dana jauh lebih besar dari apa yang diperuntukkan Pas.

"Misalnya dulu kita buat dana raya dengan peruntukan hampir RM80 juta, namun apabila Pas memerintah mereka jenamakan sebagai i-Fitri dengan peruntukan lebih kecil iaitu hanya RM40 juta.

"Ia bererti jumlah penerima semakin kecil dan ramai juga mereka yang layak tercicir kerana jumlah peruntukan tidak sebesar ketika zaman UMNO perintah dahulu," katanya ketika dihubungi, di sini pada Ahad.

Menurut Muhammad Pehimi, aspek bidang pendidikan akan diberi tumpuan seperti yang pernah dilaksanakan dahulu antaranya tuisyen percuma, pemerkasaan program untuk calon peperiksaan dan pendidikan agama untuk kanak-kanak seawal usia lima tahun.

"Banyak yang tiada pada zaman pemerintahan Pas akan kita kembalikan semula dan semua manifesto itu akan kita umumkan sepenuhnya selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan nanti," katanya.

Terdahulu, UMNO Terengganu telah mengemukakan beberapa manifesto antaranya pinjaman pembelian motosikal tanpa faedah sebanyak RM5,000 kepada golongan belia jika BN memenangi PRN negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, peminjam hanya perlu membayar balik sebanyak RM4,500 manakala bakinya RM500 pula merupakan subsidi daripada kerajaan negeri.

Selain itu, katanya, BN juga akan meneruskan pemberian e-book kepada murid sekolah rendah yang mengandungi kandungan sukatan pelajaran sekali gus menangani masalah beg sekolah berat yang perlu digalas murid ke sekolah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!