Masih ramai tidak endah larangan merokok
KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang kesal dengan sikap perokok yang masih tidak mengendahkan larangan merokok terutama di premis makanan, kompleks beli-belah dan hentian pengangkutan awam.
Pengarahnya, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia dapat dilihat hasil operasi mega Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 selama dua hari bermula Jumaat lalu.
Menurutnya, dalam operasi itu sebanyak 463 notis kesalahan telah dikeluarkan membabitkan nilai kompaun yang dianggarkan berjumlah RM109,550 melibatkan kesalahan di beberapa tempat larangan merokok di bawah Peraturan 11(1).
"Operasi melibatkan 105 pegawai diberi kuasa dari semua Pejabat Kesihatan Daerah yang terdiri daripada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam.
"Sasaran operasi pada kali ini adalah di daerah Kuantan, Bera dan Raub serta di beberapa kawasan tumpuan utama di Pahang.
"Operasi menyasarkan tempat larangan merokok seperti premis makanan, hentian pengangkutan awam, kompleks membeli belah, pusat hiburan, klinik/hospital serta kawasan rehat dan rawat (R&R) yang sering menjadi tumpuan perokok," kata beliau dalam kenyataan pada Ahad.
Nor Azimi berkata, kompleks beli-belah mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 203 notis dikeluarkan diikuti di premis makan (141), hentian pengangkutan awam (58), R&R(14), masing-masing dua notis di stesen minyak serta taman awam dan satu di pusat hiburan.
"Antara kesalahan lain yang dikuatkuasakan adalah melibatkan pemilik premis makanan iaitu kesalahan di bawah Peraturan 12(1).
"Sebanyak lima notis kesalahan dikeluarkan kepada pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan enam notis kesalahan dikeluarkan kerana gagal memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing," katanya.
Tambah beliau, bagi kesalahan di bawah Peraturan 13(1) iaitu kesalahan merokok oleh orang belum dewasa (OBD) sebanyak 31 notis telah dikeluarkan.
"Diharapkan usaha bersama ini dapat memberi kesedaran kepada perokok agar dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan persekitaran bebas asap rokok.
"Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang jomquit.com," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!