Perjumpaan pimpinan PKR sekadar pertemuan biasa - Anwar

Anwar - Foto: Bernama
Anwar - Foto: Bernama
A
A
A

BANGI - "Biasa... ia satu perjumpaan biasa, mendengar taklimat seperti biasa,” itu jawapan ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai pertemuan beliau yang juga Presiden PKR bersama pimpinan parti itu di Seri Perdana, Putrajaya pada Ahad.

Pengerusi PH itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Rakan Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia pada Ahad.

Media hari ini melaporkan pertemuan yang berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri itu dipercayai bagi membincangkan persediaan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak lama lagi.

Setakat ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Selangor sudah dibubarkan masing-masing pada Khamis dan Jumaat lepas manakala DUN Kedah dijadual dibubar Rabu ini.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti itu akan mengadakan taklimat khas di Kuala Lumpur pada Isnin berkaitan persiapan menghadapi PRN yang disertai semua pimpinan tertinggi selain Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!