KL City mara ke final Piala FA 2023

Bojan Hodak (tengah) bersama pemain meraikan kejayaan mereka selepas berjaya menumpaskan TFC menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam Ahad. - Foto: Bernama
Bojan Hodak (tengah) bersama pemain meraikan kejayaan mereka selepas berjaya menumpaskan TFC menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

KL City mengesahkan slot ke final Piala FA 2023 setelah menewaskan Terengganu FC 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat tanpa jaringan pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu, malam Ahad.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, skuad Penyu bermula garang dan hampir membuka jaringan awal menerusi percubaan penyerang importnya, Ivan Mamut ketika permainan baharu bermula 54 saat, namun berjaya dihalang benteng pertahanan skuad kendalian Bojan Hodak.

Tersentap dengan percubaan awal itu, kem pelawat mula mengatur gerakan dah nyaris mengejutkan tuan rumah menerusi rembatan padu Sebastian Avanzini pada minit ke sembilan namun gagal menemui gawang gol.

Peluang kedua tuan rumah hadir pada minit ke-11 menerusi kapten pasukan, Habib Haroon, bagaimanapun rembatan leretnya sedikit tersasar di sebelah kanan gawang gol pelawat yang sudah dikawal rapi Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin.

Pertengahan babak pertama perlawanan tuan rumah masih buntu dalam mencari gol apabila sepakan sepakan percuma Sony Norde pada minit ke-27 dan rembatan dalam kotak penalti Liridon Krasniqi pada minit ke-35 turut tersasar.

Empat minit berselang giliran kem pelawat pula mencemaskan gawang tuan rumah menerusi percubaan penyerang Harimau Malaya, Paulo Josue pada minit ke-39 namun gagal menemui sasaran.

Sebelum perlawanan masuk ke bilik persalinan Ivan Mamut sekali lagi berpeluang memecah kebuntuan gol hasil hantaran Sony Norde tetapi penjaga gawang KL City terlebih dahulu bijak menafikan rembatan padu jentera serangan import Skuad Penyu itu.

Bersambung babak kedua, permainan tampak perlahan dengan insiden layangan kad kuning terhadap benteng pertahanan kanan KL City, Kamal Azizi Zabri dan Liridon merencatkan kelancaran permainan.

Kedua-dua pasukan terpaksa berputih mata apabila peluang Nik Sharif Haseefy pada minit 72 dan Sean Giannelli (minit 85) sekadar melambung tinggi sekaligus mengheret perlawanan aksi ke masa tambahan.

Begitupun kedua-dua pasukan masih buntu dalam mencari jaringan selepas 30 minit berakhir sekali gus memaksa pemenang ke pentas akhir ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Kegagalan Nik Sharif dan Liridon menyudahkan sepakan penalti memberi tuah buat KL City apabila Giancarlo Gallifuoco tenang menyumbat sepakan terakhir sekali gus mengesahkan slot ke pentas final.

Skuad kendalian Bojan Hodak bakal membuat perhitungan terakhir sama ada bertemu dengan juara musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) ataupun Selangor FC yang akan beraksi dalam satu lagi saingan separuh akhir pada malam Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!