Antara persediaan bekalan makanan, aliran trafik menjelang Aidiladha
PADA ketika fenomena ribut Pilihan Raya Negeri (PRN) mula melanda negara, tumpuan rakyat masih lagi ke arah persediaan menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada 29 Jun nanti.
Apa yang dibimbangi oleh rakyat pastinya soal bekalan makanan di pasaran termasuk daging yang mencukupi untuk keperluan sambutan Aidiladha.
Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah memberi jaminan berhubung isu berkenaan bahawa bekalan mencukupi untuk sambutan perayaan tersebut.
Ujar beliau, pihaknya akan memastikan perkara itu dan akan menjalankan pemantauan dari masa-masa.
Tambahnya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Persatuan Peladang Kebangsaan (PPK) juga melakukan pemantauan seperti bulan Ramadan yang lepas.
Dalam pada itu, melihat trend pada tahun lalu, dijangkakan sambutan Hari Raya Aidiladha menjadi lebih meriah dan ramai rakyat akan melakukan korban raya haji pada tahun ini.
Pastinya, rakyat trauma untuk membawa kenderaan menjelang musim perayaan ini berikutan trafik sesak termasuk mereka yang melalui laluan ke Pantai Timur.
Melihat perayaan Aidilfitri sebelum ini, trafik sesak apabila lebih 2 juta kenderaan menggunakan rangkaian Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk pulang ke kampung.
Hal sama turut menimpa mereka yang hendak pulang ke Pantai Timur bagi menyambut perayaan Aidilfitri, namun terpaksa menunggu berjam-jam lamanya berikutan beberapa laluan ke kawasan tersebut ditutup.
Kali ini, orang ramai khususnya orang yang hendak beraya ke Pantai Timur boleh menarik nafas lega apabila Sinar Harian pada Ahad, memaklumkan Jalan utama Kuala Lipis ke Gua Musang yang sebelum ini ditutup bagi kerja-kerja pemasangan cerucuk untuk projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C kembali dibuka untuk kegunaan orang ramai.
Menurut sumber, pembukaan laluan dari arah Kuala Lipis ke Gua Musang itu mula beroperasi pada Ahad dan dipercayai dapat mengurangkan kesesakan lalu-lintas di kawasan berkenaan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha Khamis ini.
Begitupun, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengamalkan pemanduan berhemah dan berhati-hati apabila memandu.
Pihak penguatkuasaan juga perlu mempertingkatkan pemantauan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seterusnya membantu melancarkan aliran trafik pada waktu itu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Bekalan daging mencukupi sempena sambutan Aidiladha
Bekalan bahan mentah untuk Aidiladha mencukupi - FAMA
Jalan Kuala Lipis-Gua Musang kembali dibuka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!