Nilai murni menerusi ibadah korban

Antara amalan yang dianjurkan kepada umat Islam ketika Hari Raya Aidiladha adalah ibadah korban bagi mereka yang berkemampuan sebagai tanda syukur kepada ALLAH.
Antara amalan yang dianjurkan kepada umat Islam ketika Hari Raya Aidiladha adalah ibadah korban bagi mereka yang berkemampuan sebagai tanda syukur kepada ALLAH.
A
A
A

HARI Raya Aidiladha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Haji atau Korban merupakan perayaan terbesar dalam kalendar umat Islam.

Dari sudut bahasa, korban bermaksud sesuatu yang dikorbankan kerana ALLAH. Manakala dari sudut syara’, korban bermaksud menyembelih haiwan ternakan pada masa yang tertentu dengan niat taqarrub iaitu mendekatkan diri kepada-NYA.

Justeru, korban merujuk kepada amalan yang dapat mendekatkan diri kepada ALLAH dengan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu, unta, kambing dan kerbau yang cukup syarat pada 10 Zulhijjah atau tiga hari selepasnya iaitu hari-hari tasyrik.

Korban merupakan sunnah muakkadah iaitu amalan sunnah yang amat digalakkan.

Umat Islam dituntut untuk melakukan ibadah korban dengan melakukan sembelihan haiwan ternakan bermula dari selepas pelaksanaan solat sunat Aidiladha sehinggalah hari ke-13 dalam bulan Zulhijjah iaitu bulan terakhir dalam kalendar Islam.

Amalan korban juga menuntut agar daging haiwan sembelihan tersebut diagihkan kepada umat Islam, khususnya kepada golongan fakir miskin yang amat memerlukan.

Ibadah korban yang dilakukan oleh umat Islam bertujuan untuk memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim.

Dalam masa sama, ketaatan dan ketabahan Nabi Ismail ketika menerima khabar dari ayahnya itu menunjukkan keutuhan imannya serta kesabarannya dalam melaksanakan perintah ALLAH tanpa ada sebarang keluhan dan bantahan.

‘Ibrah dari peristiwa tersebut sangat besar terutama sekali bila dikaitkan dengan urusan kehidupan kita seharian.

Ibadah korban dan dimensi pengorbanan peristiwa ini juga menjelaskan bagaimana Islam mengajar kita untuk memberi sesuatu yang baik nilainya pada mata kita kepada orang lain, terutamanya kepada mereka yang amat memerlukan.

Ia juga mengajar kita untuk tidak bersikap angkuh, mementingkan diri dan tidak peduli hanya kerana kita asyik memikirkan keperluan dan keselesaan diri sendiri.

Dalam konteks kemasyarakatan hari ini, ia menggambarkan bagaimana seseorang individu berusaha mengorbankan harta atau wang ringgit hasil dari titik peluh untuk melakukan ibadah korban setiap tahun di samping komitmen lain yang perlu dipikul.

Situasi ini sudah tentunya mengajar kita agar tidak berkira-kira terutamanya dalam melaksanakan ibadah yang dituntut di dalam Islam.

Tidak cukup dengan itu mungkin wujud spekulasi individu yang melaksanakan ibadah korban di luar negara kerana harga haiwan korban yang murah.

Ada pula yang memilih haiwan korban yang mahal sehingga beribu-ribu harganya. Apa jua persoalannya, ia berbalik kepada kemampuan individu dan pastikan agar niat tidak tersasar dalam mengerjakan ibadah korban.

Setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan yang terbaik terhadap haiwan korban yang ingin dikorbankan. Dalam era digital, pengguna disajikan dengan pelbagai pilihan tawaran perkhidmatan korban.

Namun pengguna mestilah bijak menyemak dan menilai ketelusan maklumat perkhidmatan korban yang boleh dipercayai.

Begitulah juga dengan mana-mana entiti atau agensi yang menawarkan khidmat korban kepada masyarakat agar dapat melaksanakan amanah yang diberikan sebaiknya termasuklah dalam memastikan haiwan korban yang dipilih dalam keadaan sebaiknya di mana juga ibadah korban tersebut dilakukan sama ada di Malaysia mahupun di luar negara.

Korban memupuk semangat dan peluang kepada setiap individu Muslim untuk membantu saudara Muslim lain yang dalam kesusahan serta yang memerlukan.

Ibadah korban juga menggalakkan umat Islam untuk bersedekah dengan memberi hasil haiwan yang terbaik untuk dikorbankan.

Amalan memberi ini secara tidak langsung mendidik individu Muslim agar sentiasa bertoleransi, menyebarkan nilai kasih sayang dan bantu-membantu di antara satu sama lain.

Hinggakan Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda: “Manusia yang paling dicintai oleh ALLAH adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh ALLAH adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan laparnya.” (Hadis riwayat at-Tabrani).

Ibadah korban juga dilihat bertindak sebagai mekanisme dalam mengeratkan silaturahim dan keprihatinan dalam masyarakat.

Sambutan Hari Raya Aidiladha bukan sahaja dilakukan dengan solat sunat hari raya tetapi melibatkan aktiviti dakwah yang diterapkan melalui khutbah sebagai makanan rohani disulami dengan aktiviti sosial yang melibatkan aktiviti gotong-royong bersama masyarakat bagi memastikan proses sembelihan dan agihan berjalan lancar.

Dimensi tersebut mencerminkan usaha terangkum untuk menerapkan nilai-nilai penghayatan dan kefahaman terhadap agama Islam melalui ibadah korban.

* Kazzman Kamaruzzaman (Ketua Jabatan Ilmu Wahyu, Pusat Asasi UIA) dan Dr Kartini Kamaruzzaman (Ketua Program Komunikasi Media Baharu USIM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!