Ibadah korban bersihkan jiwa, bukan bergaduh kerana seekor lembu
KHAMIS ini umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidiladha. Ramai antara kita barangkali telah memasang niat untuk melakukan ibadah korban.
Bercakap tentang ibadah korban, Merak Jalanan nak kongsi pengalaman yang boleh dijadikan iktibar kepada kita semua. Seperti semua orang tahu, seekor lembu dibahagikan kepada tujuh bahagian untuk sebuah keluarga atau individu.
Pembahagian daging pula adalah satu pertiga untuk dimakan oleh pihak melakukan korban, disedekahkan kepada fakir dan miskin (satu pertiga) dan dihadiahkan kepada sahabat termasuk orang kaya atau jiran-jiran (satu pertiga).
Cara paling afdal adalah menyumbang keseluruhan daging korban. Ambil sedikit sahaja sekadar nak dapatkan berkat.
Namun, sudah resmi manusia selalu alpa. Sepanjang melaksanakan tuntutan sunat muakkad itu, bermacam perangai yang Merak Jalanan lihat.
Pernah sekali seorang individu memberi arahan kepada ‘orang surau’ untuk memberinya bahagian ‘paling mahal’ iaitu tulang rusuk dan batang pinang. Sambil meninggalkan orang lain untuk melapah lembunya, dia berkata, itu haknya yang perlu dipenuhi.
Cerita lain pula, kumpulan grup WhatsApp dipenuhi dengan kata-kata caci maki seorang lelaki yang tidak puas hati nama isterinya tidak diletakkan di bawah lembu sama.
“Awak daftar lambat. Akurlah sahajalah dengan ketentuan dan rezeki ALLAH.” Demikian reaksi sopan jawatankuasa menguruskan program korban tersebut.
Selepas seminggu isu itu berlalu, akhirnya tampil seorang warga emas yang beralah dan beri ruang kepada lelaki tersebut.
Hal kecil yang diperbesarkan memang menyesakkan dada, namun memberi keinsafan kepada Merak Jalanan.
Bukankah ibadah korban sepatutnya mendidik kita menjadi insan yang ikhlas dan platform untuk membersihkan jiwa?
Ingatlah kebaikan yang dilakukan bukan kerana ingin diperhatikan oleh manusia tetapi kerana ALLAH SWT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!