Sang Penyu kempunan mara ke pentas final Piala FA
PERTARUNGAN separuh akhir Piala FA tidak memihak kepada Terengganu FC (TFC) apabila pasukan itu tewas 4-2 kepada KL City FC menerusi sepakan penalti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, di sini, pada Ahad malam.
Kedua-dua pasukan tampil dengan kesebelasan terbaik pada awal permainan dengan asakan demi asakan dilakukan bagi mencari gol pembukaan.
Pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner itu dilihat cuba menguji kubu pasukan pelawat menerusi Ivan Mamut seawal minit pertama perlawanan namun dinafikan Muhammad Azim.
Pada minit ke-11, Habib Haroon hampir berjaya membolosi gawang KL City FC namun sepakan jarak jauh oleh ketua pasukan Sang Penyu itu sedikit tersasar sebelum terkena sebelah kiri pintu gol.
Situasi semakin hangat apabila tonggak KL City, Paulo Josue yang sebelum itu dilayangkan kad kuning cuba mengejutkan TFC melalui rembatan pada minit ke-34 malangnya usaha itu berjaya ditepis Mohd Suhaimi Husin.
Bagaimanapun, peluang gol yang terhidang gagal dimanfaatkan TFC walaupun gerakan Liridon dan Adisak Kraisorn pada minit ke-43 gagal menemui sasaran.
Sementara itu, rembatan deras Ivan Mamut pada minit ke-45 diselamatkan penjaga gol KL City, Kamal Azizi Zabri.
Kegagalan Nik Sharif dan Liridon menyudahkan sepakan penalti memberi tuah kepada KL City.
Tonggak pasukan KL City, Giancarlo Gallifuoco yang berjaya menyempurnakan sepakan terakhir melayakkan pasukan kendalian Bojan Hodak itu mara ke pentas final Piala FA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!