Sustainability Hunt 2023 beri impak positif

Tingkatkan kesedaran tentang pengurusan sisa pepejal, jana kewangan

A
A
A

Para peserta bergambar sebelum memulakan acara.
Para peserta bergambar sebelum memulakan acara.

PUTRAJAYA - Program 'Sustainability Hunt’ 2023 anjuran Alam Flora Sdn Bhd bukan sahaja beri impak positif kepada masyarakat atau pempangaruh tentang pengurusan sisa pepejal yang boleh dikitar semula, malah turut menjana wang sampingan hasil daripada aktiviti tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, penglibatan daripada pelbagai peringkat masyarakat termasuk pengamal media, rangkaian komuniti media sosial, ‘Key Opinion Leaders’ (KOL), pempengaruh dan penulis blog perlu bagi memupuk kesedaran alam sekitar melalui pendidikan.

Ujarnya, program itu bertujuan mencapai sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu 40 peratus kadar kitar semula menjelang 2025 dan mengukuhkan matlamat syarikat menjadikan kelestarian alam sebagai nilai teras serta menyahut hasrat kerajaan dalam mentransformasi Malaysia daripada ekonomi linear kepada ekonomi sirkular.

“Alam Flora telah berjaya melaksanakan inisiatif dan program pendidikan merangkumi aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain diberikan pemahaman yang komprehensif tentang kepentingan dalam membentuk masa hadapan yang lebih mampan.

Acara ‘Flag off’ kepada peserta sebelum acara dimulakan.
Acara ‘Flag off’ kepada peserta sebelum acara dimulakan.

“Kami ingin mewujudkan platform yang berupaya meningkatkan kesedaran tentang isu alam sekitar supaya dapat memberi inspirasi kepada perubahan positif.

“Platform media sosial dan publisiti dapat mempamerkan impak positif dalam usaha kelestarian alam sekitar kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya selepas merasmikan 35 peserta Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), Putrajaya pada Sabtu.

Kelestarian bumi

Selebriti dan penyampai radio, Rohaizah Nordin atau Haiza, 43, berkata, program kesedaran alam sekitar bukan sahaja perlu didedahkan kepada generasi muda, sebaliknya golongan dewasa juga perlu lebih cakna dan memainkan peranan bagi menyokong ke arah kelestarian bumi.

ROHAIZAH
ROHAIZAH

Tambahnya, menerusi program itu, peserta didedahkan dengan pengurusan sisa pepejal seperti minyak masak terpakai yang boleh dikitar semula sehingga mampu menjana pendapatan sampingan.

“Aktiviti kitar semula tidak rugi kerana terdapat segelintir peserta membawa minyak masak terpakai dengan harga RM2.80 untuk satu kilogram sehingga ada yang berjaya mencecah harga RM300.

Aktiviti yang dilakukan para peserta di stesen 3R on Wheels.
Aktiviti yang dilakukan para peserta di stesen 3R on Wheels.

“Selain didedahkan dengan ilmu pengetahuan, peserta juga boleh mendapatkan pendapatan sampingan dan pada masa yang sama menjaga kelestarian alam bagi generasi akan datang,” katanya.

Konsep kitar semula

Bagi penyanyi dan pempengaruh Instagram, Muhd Fareezuan Adnan, 27, aktiviti bersama komuniti bukan sahaja mendidik, tetapi juga menyedarkannya untuk lebih memahami konsep kitar semula.

MUHD FAREEZUAN
MUHD FAREEZUAN

Jelasnya, menerusi program itu pelbagai aktiviti dapat dilakukan serta dikongsi kepada orang ramai untuk bersama-sama melestarikan alam.

“Sejujurnya saya bukan orang begitu peka perihal alam sekitar, tetapi selepas bersama-sama dalam program ini saya dapat mengetahui barang-barang yang ada dalam rumah boleh dikitar semula dan jana pendapatan berbanding buang di tempat sampah,” ujarnya.

NOR FARIESHA DAHLIA
NOR FARIESHA DAHLIA

Dalam pada itu, pelajar, Nor Fariesha Dahlia Mohd Faizal, 23, menyifatkan program itu bukan sahaja mendidik masyarakat tentang kepentingan melestarikan alam, tetapi juga menggalakkan generasi muda untuk memahami kepentingan menjaga bumi.

“Saya memang belajar dalam bidang alam sekitar dan dengan program ini bukan sahaja mendidik masyarakat, tetapi turut menggalakkan generasi muda lebih peka terhadap aktiviti kitar semula yang mana tidak sukar untuk melaksanakannya,” ulasnya.

NOR AINA ATIKAH
NOR AINA ATIKAH

Menurut Nor Aina Atikah Abd Aziz, 24, dengan mengasingkan barangan kitar semula melalui program itu bukan sahaja membantu melestarikan alam, tetapi juga menjana wang dan mendidik masyarakat.

“Pada pendapat saya aktiviti ini mudah dan saya sendiri membawa beberapa jenis barangan yang boleh dijual kepada pihak FIKS serta mendapat wang sampingan hasil kitar semula walaupun tak banyak tetapi tetap berbaloi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!