Tanam semula RISDA jana pendapatan

RISDA sedia pakej bantuan sokongan untuk manfaat ekonomi pekebun kecil

A
A
A

Azman (tiga dari kanan) menerima replika cek yang disampaikan oleh Anwar (tiga dari kiri).
Azman (tiga dari kanan) menerima replika cek yang disampaikan oleh Anwar (tiga dari kiri).

NILAI - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyalurkan sebanyak RM12.34 juta dalam tempoh enam bulan tahun ini bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan di Negeri Sembilan.

Ia merangkumi bantuan program tanam semula getah sebanyak RM5.14 juta, program prasarana asas pertanian (PAP) RM 1.12 juta, program aktiviti ekonomi tambahan (AET) RM 1.3 juta dan program agromakanan RM 1.03juta.

Inisiatif bantuan berkenaan bukti keprihatinan dan kesungguhan RISDA dalam memperkasakan ekonomi masyarakat luar bandar selaras dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Dari kiri: Firzah, Nordin, Muhammad Arif, Mazelan dan Azman memegang replika cek bantuan yang diterima.
Dari kiri: Firzah, Nordin, Muhammad Arif, Mazelan dan Azman memegang replika cek bantuan yang diterima.

Malah ia sangat memberi kelegaan kepada pekebun kecil RISDA yang sememangnya sentiasa menanti-nanti bantuan sebegitu.

Penoreh getah, Mazelan Katos, 63, dari Kampung Orang Asli Langkap, Tanjung Ipoh pula berkata, bantuan projek tanam semula getah RISDA dapat membantu penoreh sepertinya menambah hasil dan pendapatan.

MAZELAN
MAZELAN

"RISDA juga bantu untuk membuat teres, jalan ladang serta bantuan benih pokok anak getah. Kami sememangnya menanti-nanti bantuan daripada kerajaan ditambah pula dengan pendapatan diperolehi kami pekebun kecil yang tak menentu," katanya.

Sangat prihatin

Pekebun kecil, Azman Salam, 68, dari Lenggeng, bersyukur menjadi sebahagian daripada keluarga RISDA yang sangat prihatin terhadap semua pesertanya.

AZMAN
AZMAN

"Terima kasih RISDA yang banyak membantu kami pekebun kecil terutama dari segi pembangunan tanam semula getah dan juga menerusi program AET.

"Malah anak saya sendiri dapat bantuan AET untuk membuka kedai kek yang diusahakannya sejak 13 tahun. Ia sangat membantu," katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Sentuhan Kasih Desa sempena Mini Karnival Usahawan Desa 2023 @ NS Fest di Dataran Nilai, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, dengan keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang, pekebun kecil sepertinya sangat mengharapkan bantuan tambahan lain dapat disediakan pada masa akan datang.

NORDIN
NORDIN

Nordin Yaasin, 66, dari Kampung Rawa, Lenggeng pula berkata, bantuan prasarana asas pertanian oleh RISDA sangat membantu pekebun kecil menikmati kemudahan yang lebih baik.

"Kemudahan itu seperti jalan pertanian, pembetungan dan jambatan. Biasalah di kawasan ladang ini jalannya teruk sikit.

"Kalau kami nak buat sendiri semua itu memang tak mampu. Macam nak buat jambatan itu biasanya kosnya mencecah berpuluh ribu. Apa yang pastinya tiap-tiap tahun RISDA tak pernah lupa bantu," katanya.

Meningkat tiga kali ganda

FIRZAH
FIRZAH



Seorang pengusaha bertih jagung 'pop corn' dari Nilai, Firzah Puasa, 37, pula berkata, pengeluaran produk bertih jagungnya mampu meningkat sehingga tiga kali ganda melalui bantuan geran mesin oleh RISDA di bawah program AET.

Malah katanya, beliau sangat menggalakkan usahawan baharu untuk mengambil peluang bantuan disediakan oleh kerajaan menerusi pelbagai agensi termasuk RISDA.

"Sebelum ini saya bergerak sendiri. Tapi sebenarnya kerajaan sediakan pelbagai bentuk bantuan bukan saja dari sudut pinjaman tetapi juga bimbangan.

"Saya berharap dengan bantuan mesin bertih jagung daripada RISDA ini dapat mengembangkan produk pengeluaran dan mencapai hasrat menembusi pasaran di Brunei, Singapura dan Indonesia," ujarnya.

MUHAMMAD ARIF
MUHAMMAD ARIF

Selain itu, penerima bantuan program agromakanan, Muhammad Arif Mohd Yasin, 30, yang mengusahakan ternakan air tawar bersyukur apabila buat pertama kalinya dipilih menerima bantuan berkenaan.

Katanya, ia sangat membantu meringankan kos operasi yang perlu ditanggung setiap bulan.

"Dalam situasi sekarang, harga makanan ikan sangat mahal dan semestinya bantuan diterima ini sangat melegakan hati saya," katanya.

Sebarang inisiatif yang disediakan RISDA boleh dilayari di laman sesawang www.suararisda.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!