Bertengkar gara-gara kad akses

Siasatan polis mendapati punca pertengkaran disebabkan kad akses masuk suspek dipercayai tidak dapat digunakan. - Gambar hiasan
Siasatan polis mendapati punca pertengkaran disebabkan kad akses masuk suspek dipercayai tidak dapat digunakan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara kad akses tidak boleh digunakan, seorang lelaki bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengawal keselamatan bertugas dalam kejadian di sebuah kawasan kediaman di Taman Sri Sentosa di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut telah dilaporkan kepada pihaknya oleh seorang individu berumur 46 tahun.

"Siasatan berdasarkan laporan tersebut mendapati kejadian melibatkan seorang lelaki dipercayai penghuni kediaman tersebut yang memandu sebuah kereta jenis BMW.

"Suspek dikatakan telah membuat kekecohan beberapa kali dan enggan memberikan kerjasama terhadap pengawal keselamatan ketika kejadian.

"Selain itu, suspek turut bertindak dilihat memarahi dan memaki pengawal keselamatan bertugas dengan perkataan yang kesat," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, siasatan mendapati punca pertengkaran disebabkan kad akses masuk suspek dipercayai tidak dapat digunakan.

"Kejadian tersebut sekali gus mengakibatkan berlakunya pertengkaran antara suspek dan pengawal keselamatan di kawasan kediaman tersebut.

"Perkara tersebut kemudiannya diselesaikan secara baik antara suspek dan pengawal keselamatan terlibat dan laporan polis yang dibuat sebelum ini turut ditarik balik," katanya.

Menurutnya, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

"Perkara tersebut diselesaikan secara baik dan semua pihak terlibat tidak mahu polis meneruskan siasatan.

"Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Pada Ahad, tular video di Twitter memaparkan pertengkaran antara seorang individu dengan pengawal keselamatan di sebuah kawasan kediaman di sini.

Kejadian tersebut kemudiannya dipercayai dimuat naik sebelum tular di Twitter.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!