Polis tahan dua lelaki kelakuan mencurigakan
ALOR SETAR - Polis menahan dua lelaki yang didapati berada dalam keadaan mencurigakan dalam Operasi Mabuk di Jalan Putra, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mereka ditahan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kota Setar bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi tadi.
Menurut beliau, pihaknya menahan sebuah kenderaan yang dinaiki dua lelaki berusia 41 dan 50 tahun dalam keadaan mencurigakan dalam operasi berkenaan.
"Melalui semakan menggunakan alat peranti peralatan sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih (MCOPS), kita mendapati nombor pendaftaran menunjukkan jenis kenderaan sama tetapi nombor cukai jalan dan casis berbeza.
"Malah, kenderaan terbabit didapati tidak memiliki pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan menggunakan cukai jalan palsu," katanya.
Menurut beliau, susulan itu, kedua-dua lelaki yang berkerja sendiri terbabit ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 108 3(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai dan pengguna jalan raya diseru dan disarankan supaya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak mengambil jalan pintas dalam melakukan sebarang perkara.
"BSPTD Kota Setar juga akan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya, yang mana sekiranya ada sebarang maklumat mengenai kegiatan tidak sihat atau maklumat mengenai jenayah bolehlah disalurkan kepada pihak trafik atau mana-mana balai berdekatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!