Inspektor Sheila didakwa ugut, aibkan kehormatan
SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Seorang inspektor wanita tular di media sosial yang menimbulkan kekecohan baru-baru ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas tiga tuduhan mengugut dan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal dan dua orang awam.
Sheila Sharon Steven Kumar atau lebih dikenali sebagai Inspektor Sheila bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di atas ketiga-tiga tuduhan tersebut.
“Saya tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan... Saya faham pertuduhan,” katanya selepas tuduhan dibicarakan jurubahasa Mahkamah di hadapan Majistret Chai Guan Hock.
Sheila didakwa mengugut seorang wanita berusia 69 tahun dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu” mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjaram lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Di hadapan Majistret Nor Hafizah Rajuni pula, Sheila mengaku tidak bersalah menyebut pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya, juga mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal menawarkan jaminan RM8,000 kepada tertuduh, manakala Anis Farhah Ahmad Hilmi pula menawarkan jaminan sebanyak RM3,000.
Guan Hock kemudian membenarkan Sheila dijamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin manakala Nor Hafizah mengenakan jaminan sebanyak RM2,000.
Sementara itu, peguam bela M Manoharan dalam rayuan pembelaan bagi diringankan wang ikat jamin memohon agar anak guamnya diberikan wang ikat jamin yang rendah atau dilepaskan dengan bon tanpa jaminan.
Menurut beliau, anak guamnya, sudah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 2016.
Peguam itu berkata, bapa tertuduh juga sudah berkhidmat selama 39 tahun dalam PDRM dengan pangkat terakhir sebagai Asisten Superintendan dan adik tertuduh juga berkhidmat dalam badan beruniform itu.
ARTIKEL BERKAITAN:
'Kau lans koperal tak layak cakap dengan aku'
Inspektor Shiela buat hal lagi
'Inspektor Shiela' ditahan kerja, lapan kertas siasatan dibuka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!