Arteta dedah pernah dilamar PSG

Arteta. - Foto Agensi
Arteta. - Foto Agensi
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mendedahkan mengenai khabar angin perpindahannya ke Perancis untuk melatih Paris Saint-Germain (PSG).

Jurulatih itu dilaporkan menjadi sasaran utama kelab gergasi Ligue 1 itu yang ketika ini kian hampir untuk mendapatkan khidmat Luis Enrique.

Sebelum ini PSG dilaporkan menghubungi Arteta bagi jawatan tersebut, namun pengendali dari Sepanyol itu gembira berada di Emirates.

"Apa yang boleh dikatakan saya gembira di Arsenal. Saya rasa disayangi dan dihargai oleh pemilik, Stan serta Josh (Kroenke).

"Masih banyak yang perlu dilakukan di sini," kata Arteta.

Arteta bagaimanapun memberi bayangan pada masa akan datang untuk membimbing pasukan seperti Real Madrid atau Barcelona.

"Sepanyol adalah negara asal saya. Sudah lama saya merantau dan akan tiba masanya mungkin kembali ke La Liga untuk merasai pengalaman baharu," katanya.

Arteta menikmati kempen terbaiknya sebagai bos The Gunners musim lalu.

The Gunners muncul naib juara Liga Perdana Inggeris dan layak ke Liga Juara-Juara selepas tujuh tahun tersisih.

Arsenal giat memantapkan skuad untuk musim depan dan bakal berbelanja 200 juta pound (RM1.19 bilion) dalam jendela perpindahan musim panas ini.

Kapten West Ham, Declan Rice adalah sasaran utama mereka selain Kai Havertz dari Chelsea dan pemain Ajax, Jurrien Timber.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!