Orang Asli mohon maaf kepada Sultan Johor
JOHOR BAHRU - Masyarakat Orang Asli kesal dengan tindakan Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) yang membantah cadangan menjadikan tanah mereka sebagai Tanah Kesultanan dengan melakukan demonstrasi di hadapan Pejabat Menteri Besar Johor, Iskandar Puteri pada 8 Mei lalu.
Wakil Tok Batin Kampung Orang Asli Kemidak, Hadi Baya berkata, tindakan JPOAJ itu tidak mewakili kira-kira 20,000 masyarakat Orang Asli yang terdapat di negeri ini.
"Hari ini, kami mewakili seluruh penduduk Orang Asli negeri Johor tampil menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku. Apa yang dilakukan JPOAJ bukanlah budaya kami dan dibimbangi memberi gambaran negatif di kalangan masyarakat.
"Mewakili seluruh penduduk Orang Asli negeri Johor dengan ini memohon ampun dan maaf kepada Tuanku Sultan Johor atas apa yang jadi terjadi tempoh hari.
"Kami juga memohon untuk menghadap Tuanku bagi menyatakan kekesalan kami dan memohon keampunan dan menunjukkan sokongan kami kepada Tuanku Sultan Johor yang sentiasa mengambil berat kebajikan masyarakat Orang Asli Johor selama ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mereka akan sentiasa memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan bagi pembangunan masyarakat Orang Asli melibatkan pendidikan, sosial ekonomi dan pembangunan.
Pada 16 Mac lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah untuk mencadangkan tanah Orang Asli menjadi Tanah Kesultanan bagi mengelakkan dieksploitasi.
Bagaimanapun pada 8 Mei lalu, sekumpulan Orang Asli membantah cadangan itu dan menghantar memorandum bantahan berkaitan Tanah Kesultanan kepada kerajaan Johor di Pejabat Menteri Besar Johor di Iskandar Puteri.
Susulan itu, Pengerusi JPOAJ, Dolah Tekoi berkata, satu rundingan perlu diadakan segera antara pihaknya dengan kerajaan negeri berhubung cadangan tersebut. Habis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!