MBSB Bank bantu usahawan menerusi program GRAP 2.0
MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) terus membantu usahawan menerusi Program Bantuan Keusahawanan (GRAP) 2.0 merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan menyediakan pendapatan mampan kepada mereka yang terjejas oleh landskap ekonomi yang mencabar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib berkata, susulan kejayaan GRAP 1.0 pada tahun lalu, program itu akan diteruskan lagi bersama rakan pelaksana iaitu Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia).
“Program ini direka untuk memperkasakan usahawan mikro dengan meningkatkan pengetahuan perniagaan mereka.
"Keupayaan yang disasarkan peserta akan ditambah baik dengan meminta mereka menghasilkan rancangan perniagaan yang kukuh, kewangan pengurusan dan pemasaran serta pengiklanan dalam membina perniagaan bagi memperoleh pendapatan mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ujar beliau, tahun lalu mereka mempunyai 23 peserta yang berjaya menerima pensijilan untuk mencapai peningkatan jualan.
Menurutnya, kejayaan program itu mencatatkan pertumbuhan pendapatan bulanan peserta adalah lebih 95 peratus dalam tempoh tujuh bulan.
Tambahnya, MBSB Bank melabur sejumlah RM818,300 untuk GRAP 2.0 yang akan berlangsung selama 12 bulan bermula Jun 2023.
“Salah satu sebab paling penting untuk mendapatkan pensijilan adalah untuk memberi mereka pengiktirafan dan penghargaan atas kerja keras serta dedikasi mereka sebagai bukti menghadiri sebuah program keusahawanan. Kali ini, kami menyasarkan untuk membantu 50 peserta.
“MBSB Bank percaya dalam mewujudkan masa depan yang inklusif dan mampan untuk semua lapisan masyarakat memerlukan sokongan berterusan melalui pelbagai program,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!