Dua penyamun berparang dicekup
KUALA LANGAT - Dua lelaki dipercayai ahli Geng Stallone diberkas selepas disyaki terlibat kes samun berparang di sebuah hotel bajet di Sungai Jarom di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, mangsa terlibat merupakan pekerja di hotel tersebut.
"Mangsa berumur 19 tahun itu sebelum ini membuat laporan disamun dua lelaki bersenjatakan parang pada 15 Jun.
"Mangsa mengalami kerugian melibatkan sebuah telefon bimbit," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek terlibat di sekitar Klang pada Khamis.
"Kedua suspek berumur lingkungan 30-an diberkas menerusi serbuan dijalankan kira-kira jam 2.30 petang.
"Selain itu turut dirampas dua buah telefon bimbit dan sebilah parang berhulu hijau yang dipercayai digunakan suspek," katanya.
Menurutnya, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah.
"Siasatan dijalankan turut mendapati kedua suspek aktif melakukan kegiatan jenayah sejak lima bulan lalu.
"Kedua-dua suspek kini direman lima hari untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!