8 nelayan Vietnam ditahan, rampasan hampir RM1.5 juta
KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara dengan hasil rampasan bernilai hampir RM1.5 juta.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, bot dinaiki lapan kru termasuk seorang tekong itu ditahan Kapal Maritim yang menjalankan operasi Op Kuda Laut dan Op Naga Barat di kedudukan 60 batu nautika dari muara Pulau Redang, kira-kira jam 2.30 petang pada Sabtu.
"Bot bersama semua kru berusia antara 23 hingga 55 tahun itu dibawa ke jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.
"Kesemua mereka ditahan bersama hasil tangkapan, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta," katanya dalam kenyataan, di sini pada Isnin.
Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya terdapat nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran.
"Kita akan meningkatkan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.
"Sebarang maklumat berkaitan salah laku yang berlaku di perairan negara boleh disalurkan ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!