LBS raih anugerah Pemaju Terbaik BCI Asian 2023
SHAH ALAM - Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) dinobatkan sebagai 10 Pemaju Terbaik 2023 di Anugerah BCI Asia (BCIAA).
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San, berkata, LBS amat teruja dinobatkan sebagai salah satu pemaju daripada 10 pemaju terbaik di Asia.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong LBS dan akan terus berusaha dengan lebih kuat untuk kekal menjadi pemaju pilihan.
“Tahun ini, projek yang dimenangi oleh LBS adalah Melodi Perdana yang terdiri dari empat blok kediaman sebanyak 1,520 unit. Projek ini mempunyai purata saiz binaan yang selesa dengan 901 kaki persegi.
“Pembangunan Melodi Perdana ini dilaksanakan berdasarkan teras utama LBS iaitu mampu milik, rangkaian hubungan, komuniti dan kelestarian. Lebih utama lagi, kesemua unit ini dibina sebagai komitmen LBS untuk membantu negara memenuhi permintaan hartanah pada harga berpatutan,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, kelestarian dalam perumahan adalah sangat penting bagi LBS kerana manfaatnya amat besar baik kepada pembeli rumah mahupun alam sekitarnya di mana jejak ekologi mampu dikurangkan dan sekaligus memelihara sumber semula jadi yang amat berharga.
“Penerimaan positif konsep kelestarian dalam perumahan bukan sahaja melindungi masa depan bumi malah membantu meningkatkan kesejahteraan dan keselesaan penduduk.
“Ini adalah usaha yang bermakna untuk masa depan yang lebih bertanggungjawab dan berdaya tahan,”katanya.
Majlis makan malam gala Anugerah BCI Asia 2023 itu telah dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!