Pergerakan ke Arafah berjalan lancar

Syed Saleh (dua dari kanan) ketika meninjau operasi pergerakan jemaah ke Arafah pada Isnin. Gambar kecil: Syed Saleh, Dr Nabilah, Dr Amin
Syed Saleh (dua dari kanan) ketika meninjau operasi pergerakan jemaah ke Arafah pada Isnin. Gambar kecil: Syed Saleh, Dr Nabilah, Dr Amin
A
A
A

MAKKAH - Pergerakan jemaah haji Malaysia secara berperingkat ke Arafah berjalan lancar dengan bas yang pertama bertolak jam 7 pagi Isnin.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, dijangka sebelum Maghrib waktu Arab Saudi semua jemaah haji muassasah akan tiba di Arafah bagi persediaan Wukuf.

Menurut beliau, secara keseluruhan 21 bas secara ulang-alik membawa jemaah haji dari sembilan maktab penginapan dengan purata sebanyak tiga trip.

"Petugas kita akan pastikan tiada jemaah yang tertinggal kerana akan ada pemeriksaan dari bilik ke bilik dan juga di kawasan sekitar Masjidil Haram," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pergerakan jemaah di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) di Abraj Al Janadriyah di sini pada Isnin.

Ujarnya, setakat ini persediaan di Arafah, Mudzalifah dan Mina telah lengkap sepenuhnya dengan bilik gerakan operasi telah diaktifkan untuk menyambut kehadiran jemaah haji.

"Pasukan petugas telah bergerak awal untuk membuat persiapan terakhir dari semua sudut supaya operasi Masyair kali ini berjalan seperti yang dijadualkan," katanya.

Pada tahun ini seramai 31,600 jemaah haji Malaysia bersama-sama kira-kira tiga juta jemaah haji seluruh dunia akan berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina yang menjadi kemuncak ibadah haji.

Kerajaan Arab Saudi menetapkan hari Wukuf adalah pada Selasa ini, sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu.

Jemaah menaiki bas untuk ke Arafah.
Jemaah menaiki bas untuk ke Arafah.

Sementara itu, 60 pesakit telah dikenal pasti untuk dibawa dengan bas khas dari Pusat Perubatan Syisyah Makkah ke Arafah melalui program Safari Wukuf.

Pengarah Operasi (Perubatan) Makkah, Dr Amin Sah Ahmad berkata, sebanyak enam bas disediakan dan dibantu 111 petugas yang terdiri daripada doktor pakar dan jururawat.

Katanya, pada 9 Zulhijjah jam 3 pagi pesakit terlibat akan dipersiapkan diri oleh petugas untuk mandi, memakai ihram dan menunaikan solat Subuh.

Kata beliau, pada jam 10 pagi bas akan bergerak ke Arafah dan kira-kira jam 12.24 tengah hari pesakit akan dapat mengikuti Khutbah Arafah, solat Zohor dan Asar secara jamak tamam.

"Semua proses akan berakhir pada jam 4 petang dengan semua pesakit akan dibawa semula ke wad masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pakar Perubatan, Dr Nabilah Salman Parasi@Sulaiman berkata, terdapat beberapa kategori pesakit yang terlibat dalam program Safari Wukuf.

Kelengkapan dalam bas khas untuk membawa pesakit berwukuf di Arafah.
Kelengkapan dalam bas khas untuk membawa pesakit berwukuf di Arafah.

"Kategori kritikal ialah pesakit yang memerlukan obrservasi teliti yang perlukan oksigen untuk bantuan pernafasan.

"Kategori kedua ialah semi kritikal iaitu pesakit yang baru saja alami serangan jantung, asma, jangkitan kuman dan masalah paru-paru,"katanya.

Dr Nabilah berkata, kategori berikutnya ialah pesakit jantung yang telah menerima rawatan serangan jantung tetapi dan berada dalam keadaan stabil.

Kata beliau, pesakit psikiatri yang stabil emosi akan diletakkan dalam satu bas dan kategori tidak kritikal ialah mereka yang alami kecederaan akibat patah dan kes jangkitan kuman.

Program Safari Wukuf telah dilaksanakan sejak tahun 2014 bagi membolehkan jemaah haji yang sakit menyempurnakan Wukuf masing-masing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!