Ayuh Malaysia, kita bangkit perangi rasuah
SHAH ALAM - Rasuah yang semakin membarah di negara ini memanggil Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Rasuah Busters untuk menyemarakkan kempen Malaysia Bangkit Perangi Rasuah.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, sesuatu harus dilakukan segera dan kempen ini dicetuskan tepat pada masanya bermatlamat merealisasikan Malaysia Tanpa Rasuah.
Menurutnya, kempen ini bersifat menyeluruh dan menyasarkan semua segmen masyarakat dalam menyentuh jiwa mereka supaya menolak perbuatan jijik berkenaan.
"Kempen ini satu gerakan reformasi nilai dan moral masyarakat, kita mahu bawa masyarakat ke arah yang lebih baik iaitu menjadikan mereka berintegriti, tidak mengamalkan rasuah serta bebas daripada cengkaman bahana rasuah.
"Gejala rasuah yang berleluasa akan meruntuhkan struktur negara, malah lebih teruk lagi akan membawa kehancuran kepada negara. Jika ini berlaku maka masyarakat juga akan menerima impaknya iaitu mereka tidak dapat hidup dalam keadaan yang baik, kualiti kehidupan menurun dan ekonomi kita akan ranap," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Untuk menggemakan lagi kempen ini, Badlishah berkata, beberapa pelan jangka pendek dan panjang telah pun dirancang dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Cara yang paling berkesan adalah menerusi pendidikan masyarakat, untuk itu kita berbincang untuk menyediakan modul antirasuah yang boleh menjangkau semua lapisan masyarakat.
"Jadi menerusi modul-modul ini kita rancang untuk turun ke bawah bersama masyarakat, modul ini akan menjadi panduan kita dalam usaha mendidik masyarakat menolak rasuah. Ikram dan Rasuah Busters sedang usahakan bagaimana modul yang dirangka itu nanti dapat dibawa masuk ke media-media arus perdana seperti RTM untuk memudahkan penyampaian kita kepada mereka," katanya.
Ikram dan Rasuah Busters sebelum ini giat mengadakan kerjasama dalam usaha memerangi rasuah di negara ini dengan pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan termasuklah kempen Malaysia Bangkit Perangi Rasuah.
Rasuah Busters sendiri merupakan gerakan daripada rakyat demi rakyat untuk memulihkan dan membentuk transformasi serta integriti #NilaiMoralKarakterBangsa Malaysia dengan menghapuskan kereputan akhlak termasuk segala bentuk korupsi.
Ikram salah satu daripada hampir 540 Rakan Gabungan Rasuah Busters yang berjuang membebaskan negara ini daripada rasuah. Mana-mana pertubuhan yang ingin berjuang bersama, sila hubungi talian 0192802080 (Puan Normi).
Maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh didapati di Facebook Rasuah Busters.klik link https://twb.nz/malaysiabangkitperangirasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!