Pembinaan semula Lebuhraya Timur Barat mula tahun ini
TUMPAT - Pembinaan semula Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli dijangka dimulakan pada tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan itu bagaimanapun akan melibatkan sebahagian laluan terlebih dahulu melalui peruntukan RM30 juta.
Menurutnya, kos keseluruhan pembinaan semula lebuh raya itu diperlukan antara RM80 juta sehingga RM100 juta.
“Saya sedia maklum dengan keadaan jalan menghubungkan Kelantan ke Perak itu yang agak teruk dan berlubang malah sudah diberi taklimat mengenainya.
“Kita akan mulakan pembinaan semula laluan itu tahun ini, namun perincian projek melibatkan berapa jarak dan kilometer belum dibincangkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Jejambat Wakaf Bharu di sini pada Isnin.
Akhbar sebelum ini melaporkan, isu keadaan lebuh raya itu menjadi antara agenda Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu.
Masalah tersebut memerlukan tindakan segera kerana keadaan jalan teruk dan mengundang kemalangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!