Maut dipukul teman lelaki: Punca kematian cedera di kepala
IPOH - Hasil bedah siasat terhadap wanita yang maut dipukul teman lelakinya di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon di sini pada Ahad menunjukkan kematian mangsa adalah akibat kecederaan kepala dan intra abdomen.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, bedah siasat mangsa berusia 24 tahun itu dijalankan sekitar jam 10 pagi di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Isnin.
"Pakar Forensik telah mengesahkan punca kematian mangsa adalah kecederaan kepala dan intra abdomen akibat trauma tumpul," katanya ringkas ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sinar Harian melaporkan mangsa ditemukan polis meninggal dunia dipercayai akibat dipukul teman lelakinya dengan sebatang kayu penyapu sekitar jam 4.34 pagi.
Polis telah menahan empat individu termasuk suspek berusia 23 tahun yang mengaku telah memukul mangsa selain positif dadah jenis methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing.
Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan merupakan anak pasangan kekasih terbabit telah diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!