Dua ditahan buat aksi wheely, zig zag

Salah seorang lelaki ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Padang Garam, di sini, semalam. - Foto Ihsan PDRM
Salah seorang lelaki ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Padang Garam, di sini, semalam. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

ALOR SETAR - Dua lelaki menerima padah apabila ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah, di sini, akibat melakukan 'wheely' dan 'zig zag', semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kota Setar melakukan operasi selama empat jam bermula 4 petang hingga 8 malam selepas menerima maklumat berkaitan kegiatan lumba haram.

Menurutnya, pihaknya menahan dua lelaki berusia 18 dan 21 tahun yang masing-masing merupakan penganggur dan nelayan ketika Operasi Samseng Jalanan dilaksanakan di kawasan itu.

"Mereka ditahan kerana didapati berlumba sesama sendiri dan melakukan beberapa aksi, seperti aksi menunduk badan (zig zag) dan mengangkat satu tayar hadapan (wheely).

"Tindakan dua lelaki terbabit bukan hanya berbahaya kepada diri sendiri, malah pengguna jalan raya lain," katanya.

Sehubungan itu, kata Rozi, pihaknya membawa dua lelaki itu ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk tindakan selanjutnya dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, beliau menyeru ibu bapa dan penjaga menitik beratkan pengawasan anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat ini kerana perbuatan itu akan menjejaskan masa depan anak muda.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!