PRN: Muda umum ‘bertarung' solo di 6 negeri
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengumumkan untuk ‘bertarung’ di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat memandangkan situasi dua blok politik utama di negara yang dilihat tidak mencukupi.
"Muda akan bertanding dalam PRN menggunakan kekuatan parti politik sendiri," kata Syed Saddiq semasa sidang media di Petaling Jaya pada Isnin.
Menurut Syed Saddiq, kemasukan Muda secara solo dalam pilihan raya tersebut tidak sepatutnya disulami dengan sentimen atau persoalan negatif seperti ‘pecah undi’.
Jelasnya, penyertaan parti tersebut hakikatnya keadaan semasa politik nasional yang tidak menepati kehendak rakyat.
“Cukup-cukuplah menakutkan orang kerana sekiranya janji ditunaikan, reformasi dijalankan, kuasa terhadap rakyat diberikan, Muda tidak akan bertanding.
“Tetapi apabila parti politik blok besar sekarang ini terlalu selesa sekarang. Dibawanya sentimen jika masyarakat tidak mengundi mereka, maka sebelah sana akan menang dan hancurlah negara.
“Begitu juga di satu lagi blok, sekiranya tidak mengundi mereka, hancurlah Melayu-Islam,” katanya.
Justeru, beliau ingin melihat PRN yang akan berlangsung tidak lagi sebagai satu anjakan paradigma kepada negara.
“Kita mahu pilihan raya ini menjadi ‘wake-up call’ yang jelas. Perjalanan lebih panjang (untuk Muda), tetapi itu tidak mengapa. Kita akan melihat ini sebagai pelaburan dalam negara kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!