Kejuaraan tingkat keyakinan beregu negara - Rexy

Rexy - Foto Agensi
Rexy - Foto Agensi
A
A
A

PENGARAH Kejurulatihan Beregu, Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky menyifatkan kejayaan beregu negara meraih kejuaraan berganda dalam kejohanan Terbuka Taiwan, pada Ahad mampu meningkatkan tahap keyakinan mereka untuk mengharungi lebih banyak pertandingan selepas ini.

Justeru, beliau mahu gandingan Chen Tang Jie-Toh Eei Wei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun membuktikan mereka mampu mengekalkan karakter juara dalam tiga kejohanan berturut-turut, Terbuka Korea, Jepun dan Australia.

“Saya berharap kejuaraan ini akan jadi lonjakan buat mereka untuk lebih yakin dan percaya dengan kemampuan diri sendiri.

“Ia juga diharap dapat membantu meningkatkan prestasi mereka pada masa akan datang,” katanya.

Pada aksi final yang berlangsung di Arena Tian-Mu pada Ahad, Wei Chong-Kai Wun berjaya mempertahankan kejuaraan selepas bangkit mengejutkan pasangan pilihan dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 20-22, 21-17, 21-14 dalam tempoh satu jam 11 minit.

Dalam pada itu, Kai Wun memberitahu enggan berasa selesa dengan kejayaan yang dikecapi bersama Wei Chong kerana masih banyak kejohanan yang perlu diharungi selain berharap momentum dimiliki ketika ini dapat dikekalkan.

“Kami tidak boleh terlalu selesa kerana masih banyak kejohanan yang perlu diharungi. Malah kami juga berharap dapat melepasi lebih banyak halangan pada kejohanan yang akan datang.

“Kami akan cuba fokus untuk sekurang-kurangnya berada pada peringkat suku akhir atau separuh akhir dalam setiap kejohanan yang disertai,” katanya.

Sementara itu, Tang Jie- Ee Wei pula mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan wakil tuan rumah, Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min 21-12, 21-8 pada aksi final sekali gus meraih kejuaraan ketiga musim ini.

“Memang layak mereka menang. Mereka menunjukkan sikap yang baik pada kejohanan ini dan ia pentas yang bagus untuk uji kemampuan mereka,” ujar Rexy.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!