Kuasa veto PBB punca konflik gagal diselesaikan - Ismail Sabri

Ismail Sabri ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Pertahanan Republik Indonesia, Jawa Barat, Indonesia pada Isnin.
Ismail Sabri ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Pertahanan Republik Indonesia, Jawa Barat, Indonesia pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan kebimbangan terhadap penyalahgunaan kuasa veto oleh Majlis Keselamatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai masalah yang paling besar.

Menurutnya, ia disering digunakan bagi memihak kepada kuasa besar dunia yang memilikinya dan langsung tidak menggambarkan nilai demokratik serta melanggar prinsip hak asasi manusia.

Jelasnya, perkara itu menyebabkan banyak konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan.

“Sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.

“Perdagangan antara negara hampir bebas dilaksanakan. Aktiviti ekonomi antara negara kapitalis dan sosialis berjalan seolah-olah bebas tanpa sekatan.

“Jadi mengapa tidak, PBB dan seluruh anggotanya berusaha untuk menjadikan dunia sebagai satu keluarga besar yang sempurna. Menjadi Keluarga Dunia sejati. Menjadi Keluarga Dunia yang aman damai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Pertahanan Republik Indonesia di Jawa Barat, Indonesia pada Isnin.

Ismail juga dalam ucapan tersebut berkata, keamanan sejagat merupakan tanggungjawab global.

Tambahnya, setiap negara wajar melaksanakan pelbagai cara untuk mengekalkan keamanan negara dan antarabangsa.

“Saya menolak konsep ‘keamanan sedunia’ yang menggunakan kekuatan senjata atau memenangi perangan untuk membentuk keamanan. Perang tidak dapat diselesaikan dengan perang untuk mencapai perdamaian.”

“Justeru, saya mengajak para hadirin berdoa sambil berusaha, agar seluruh kepimpinan dunia melalui PBB, berikhtiar mencari jalan supaya segala bentuk konflik atau peperangan dapat diatasi.

"Jangan kerana kapitalis senjata dan minyak ini memusnahkan penghidupan umat manusia di dunia ini.” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!