Ejen insurans berputih mata, hanya tinggal RM1 dalam akaun
JOHOR BAHRU - Seorang ejen syarikat insurans berputih mata selepas akaun banknya diceroboh dan RM11,092 lesap ekoran berlaku empat transaksi tanpa pengetahuannya pada 20 Mei lalu.
Mangsa, Koo Kah Peng, 53, mendakwa, empat transaksi tersebut dipindahkan ke satu akaun atas nama Nicholas.
"Saya tidak kenal siapa Nicholas. Saya menyedari perkara ini semasa menyemak baki akaun bank secara dalam talian pada jam 11 pagi, 20 Mei lalu ketika di rumah keluarga saya di Taman Pelangi Indah di sini.
"Kali terakhir saya membuat semakan baki akaun bank terbabit sehari sebelum itu. Mulanya saya sangka tercicir kad pengeluaran wang automatik (ATM), namun saya mendapati kad saya tidak hilang," katanya.
Dia berkata demikian ketika mengadu perkara berkenaan kepada Setiausaha Cawangan DAP Johor Jaya, Mok Meng Haw di pejabatnya di sini pada Isnin.
Kah Peng berkata, dia kemudian ke cawangan bank berkenaan di bandar raya ini bagi mendapatkan penjelasan sebelum mereka menunjukkan rekod transaksi pemindahan wang ke akaun bank seorang lelaki.
"Terdapat rekod permohonan nombor kod pengesahan transaksi (TAC), pemindahan wang dan permohonan bagi menukar had pemindahan wang.
"Kesemua transaksi pemindahan berlaku dalam tempoh enam minit iaitu antara jam 10.19 pagi hingga 10.25 pagi membabitkan RM11,092," katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, semua transaksi berkenaan dilakukan ke akaun peribadi seorang lelaki tidak dikenali bernama Nicholas.
Selain membuat laporan di Balai Polis Pelangi Indah pada 20 Mei lalu, dia turut melaporkan perkara itu ke Bank Negara Malaysia (BNM).
"Ia merupakan wang gaji saya yang sepatutnya digunakan bagi perbelanjaan keluarga termasuk persekolahan tiga orang anak, tidak disangka ia menjadi sasaran scammer.
"Pengurusan bank menyatakan masih menjalankan siasatan berkaitan perkara berkenaan walaupun terbukti kesemuanya berlaku akibat sistem sekuriti bank yang masih lemah terutama perbankan internet," katanya.
Sementara itu, Meng Haw berkata, bank perlu meningkatkan aspek keselamatan terutama daripada segi perlindungan data pelanggan kerana kes seumpama itu kerap berlaku yang membabitkan 'scammer'.
"Malah pelanggan bank juga seharusnya lebih berhati-hati tanpa membuat turun sesuatu aplikasi tanpa mengetahui maklumat lanjut berkaitannya," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!