Polis siasat video kemalangan tular babit SUV, motosikal

Rakaman kamera papan pemuka memaparkan kemalangan melibatkan SUV jenis Volvo dan sebuah motosikal di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) pada Isnin.
Rakaman kamera papan pemuka memaparkan kemalangan melibatkan SUV jenis Volvo dan sebuah motosikal di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menjalankan siasatan berhubung kejadian melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo dan sebuah motosikal menerusi video tular di Facebook pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) kira-kira jam 7.10 malam.

"Kejadian yang dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kereta itu memaparkan kenderaan SUV jenis Volvo itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah motosikal.

"Motosikal terlibat kemudiannya terbabas, bagaimanapun tidak dipastikan keadaan penunggang kerana setakat ini tiada laporan polis yang dibuat berkaitan kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, pemandu Volvo tersebut kemudiannya tampil membuat laporan berhubung kejadian pada Isnin kira-kira jam 12.12 tengah hari.

"Pemandu berumur 51 tahun itu kemudiannya telah diambil keterangan untuk siasatan lanjut berkaitan kejadian.

"Polis kini dalam usaha mengesan penunggang motosikal terlibat dan meminta penunggang berkenaan tampil untuk membuat laporan polis," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta segera berhubung dengan pihak polis.

"Segala maklumat dapat disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor R Navalan di talian 014-2536820.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Pada Isnin, tular video di Facebook memaparkan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan SUV jenis Volvo dan sebuah motosikal.

Kejadian tersebut dipercayai dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan sebelum ia ditular di media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!