Ibu lain agama teman anak daftar tahfiz

Bee Cheng kerap melawat Mike Foong di pusat pengajian tahfiz itu.
Bee Cheng kerap melawat Mike Foong di pusat pengajian tahfiz itu.
A
A
A

KUALA KUBU BHARU - [DIKEMASKINI] Kasih sayang ibu terhadap anaknya tiada batasan meskipun mereka berlainan pegangan agama.

Ketika anaknya mendaftar sebagai pelajar tahfiz, seorang suri rumah, Ang Bee Cheng, 48, hadir menemani bagi menguruskan pendaftaran tersebut.

Anak sulung daripada tiga beradik, Tan Mike Foong , 23, merupakan pelajar mualaf yang berjaya menamatkan Sijil Asas Tahfiz selama setahun di Darul Quran Jabatan Agama Islam (JAKIM) Kuala Kubu.

Mike Foong membuktikan keupayaan menghafaz 10 juzuk al-Quran walaupun orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak dilahirkan.

Kini dia meneruskan pengajian peringkat Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat yang ditetapkan syarat menghafaz kesemua 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun.

Kasih sayang Bew Cheng terhadap anaknya tiada belah bahagi.
Kasih sayang Bew Cheng terhadap anaknya tiada belah bahagi.

Sesi pendaftaran program diploma itu pada Selasa lalu mendapat perhatian ramai apabila dia ditemani ibunya yang bukan beragama Islam.

Mike Foong memeluk Islam pada 2015 yang ketika itu tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Artikel Berkaitan:

Dia menerima pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kubu Bharu dan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak, Kuala Lumpur.

Ketika usianya kanak-kanak, Mike Foong berkata, dia pernah meniru suara azan di rumah kerana seringkali mendengar laungan tersebut dari surau berdekatan kediamannya di Batang kali.

Mike Foong kini meneruskan pengajian peringkat diploma.
Mike Foong kini meneruskan pengajian peringkat diploma.

Menurutnya, terdapat sebuah kem tentera di belakang sekolah menengah yang akan memasang bacaan al-Quran sebelum masuk solat.

"Bila dengar azan saya tak rasa ia satu muzik, tapi kalimah. Sampailah masa berada di tingkatan empat, saya akan buka radio untuk dengar bacaan solat terawih.

"Lepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya ikut latihan kemahiran pengurusan pejabat di bawah Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).

"Ramai yang beragama Islam dan bila mereka ada kuliah agama yang dikendalikan Ustaz Mat Noor, saya bersama dua rakan bukan Islam akan dengar," katanya.

Mike Foong berkata, pada satu hari, pihak persatuan menjemput seorang pendakwah mualaf kerana ada di antara mereka yang ingin tahu tentang Islam.

Menurutnya, dia turut serta dalam perbincangan tersebut sebelum diajukan beberapa soalan berkaitan fitrah kejadian penciptaan dan pencipta.

"Pada hari itulah saya lafaz dua kalimah Syahadah dan sekali lagi seminggu kemudian ketika daftar secara rasmi di pejabat agama.

"Saya rahsiakan dari pengetahuan ibu bapa dan lepas setahun setengah, baru mereka tahu.

"Saya ajak ibu pergi makan kedai makan mualaf cina dan pemilik kedai tanya adakah saya muslim di hadapan ibu," katanya.

Tamat pengajian Diploma Kemahiran Malaysia, Mike Foong menyertai Interactive Dakwah Training (IDK) sebagai sukarelawan dan belajar cara pendakwah menyantuni golongan mualaf.

Dia mula mempelajari dan membaca buku Iqra selain menghafaz surah serta berjaya memenangi pertandingan hafazan mualaf di peringkat negeri Melaka.

"Atas cadangan seorang rakan, saya mengikuti Kursus Asas Tahfiz di Darul Quran Jakim selama setahun bermula Januari tahun lepas," katanya.

Ibunya memberi reaksi terkejut apabila Mike Foong membuat pengakuan memeluk Islam ketika menjawap soalan pemilik kedai makan itu.

Bee Cheng berkata, dia bertanya lanjut mengenai tersebut kepada anaknya selepas mereka pulang ke rumah.

Mike Foong membaca Al-Quran menggunakan kaedah braille.
Mike Foong membaca Al-Quran menggunakan kaedah braille.

Menurutnya, walaupun terkilan dan mengambil masa hampit setahun untuk menerima hakikat namun dia akur dengan keputusan anak sulungnya itu.

"Saya takut kehilangan Mike sebab ramai yang kata, orang Islam tak boleh tinggal dengan bukan Islam dan saya takut Mike tak boleh uruskan diri.

"Lepas Mike terangkan segalanya, baru saya boleh terima dan gembira tengok perubahan dia yang semakin baik.

"Saya sendiri teman dia daftar sebagai pelajar tahfiz dan mula-mula dulu, hari-hari saya datang jenguk Mike sebab rumah kami di Kampung Asam Kumbang tak jauh, dalam 10 minit saja," katanya.

Bee Cheng berkata, Mike Foong dilahirkan tidak cukup bulan dengan berat 900 gram dan ditahan di wad Hospital Kuala Lumpur selama tiga bulan.

Ibu bapa menemani Mike Foong ketika mendaftar bagi pengajian diploma pada Selasa lalu.
Ibu bapa menemani Mike Foong ketika mendaftar bagi pengajian diploma pada Selasa lalu.

Menurutnya, bapa Mike Foong, Tan Ang Chong, 54, mengusahakan bengkel sendiri manakala dua lagi anak masing-masing berusia 20 dan tujuh tahun.

"Kami semua bukan Islam dan hanya Mike saja Islam tapi hidup bahagia malah anak bongsu suka tengok Mike solat," katanya.

Sementara itu Mike Foong berkata, dia tidak mempunyai keluarga angkat beragama Islam kerana ibu bapa dan dua adiknya adalah harta dunia akhirat yang tiada pengganti.

Menurutnya, nama asal dikekalkan kerana tiada keperluan berbuat demikian walaupun sudah menganuti Islam.

#huluselangor #darulqurankkb Meskipun dikategorikan orang kurang upaya (OKU) penglihatan namun Tan Mike Foong, 23, membuktikan keupayaan menghafaz 10 juzuk al-Quran dan menamatkan Sijil Asas Tahfiz di Darul Quran JAKIM Kuala Kubu Bharu. Ketika mendaftar bagi meneruskan pengajian ke peringkat diploma, Mike Foong ditemani ibu bapanya yang berlainan agama. [ARTIKEL PENUH: https://www.sinarharian.com.my/article/26547/BERITA/Nasional/Ibu-lain-agama-teman-anak-daftar-tahfiz ] Laporan: MOJO Sinar Harian Selangor MOHD RIDZUAN ABU HASSAN

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Monday, May 6, 2019

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!