Kunjungan ke Laos perkukuh hubungan persahabatan, kerjasama

Anwar tiba di Laos untuk lawatan rasmi dua hari bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi dengan negara anggota ASEAN. - Foto Bernama
Anwar tiba di Laos untuk lawatan rasmi dua hari bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi dengan negara anggota ASEAN. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kunjungan beliau ke Laos memberi peluang kepada beliau dan rakan sejawatan, Dr Sonexay Siphandone untuk memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Menerusi catatan di Facebook pada Isnin, beliau berkata, kunjungan yang bermula hari ini turut membolehkan momentum positif dibina sebelum Laos mengambil alih Kepengerusian ASEAN daripada Indonesia tahun depan.

"Selain bertemu pemimpin serta komuniti Islam Laos, saya juga akan mengadakan pertemuan bersama rakyat Malaysia yang menetap di negara ini (Laos) sekali gus berpeluang berkongsi dasar serta aspirasi Malaysia MADANI bersama mereka.

"Semoga lawatan ini dapat membawa manfaat buat kedua-dua negara," kata perdana menteri.

Anwar bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan delegasi dari Kuala Lumpur tiba di Vientiane petang tadi untuk lawatan rasmi dua hari bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi dengan negara anggota ASEAN.

Lawatan sulung Anwar sebagai Perdana Menteri ke negara itu adalah atas jemputan Siphandone.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Laos melonjak 425 peratus daripada AS$48.7 juta (RM202.5 juta) pada 2021 kepada AS$255.6 juta (RM1.13 bilion) pada 2022, dengan peratus paling tinggi disumbangkan menerusi peningkatan dalam permintaan bagi produk elektronik Malaysia.

Malaysia merupakan penyumbang pelaburan langsung asing (FDI) keempat terbesar Laos tahun lepas selepas China, Thailand dan Vietnam, terutamanya dalam sektor tenaga, zon perdagangan bebas, automotif dan sektor perbankan.

Malaysia dan Laos telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1 Julai 1966. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!